Sabtu, 11 Januari 2014

KENDURI KAHWIN- wajibkah?

WAJIB HADIR MAJLIS KENDURI KAHWIN

Dalam ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis Rasulullah, kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus.

Pada umumnya, kenduri terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin seperti kenduri atau jamuan kesyukuran atau jamuan hari raya.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib. Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah me-nyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.Dengan menghadiri jemputan itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta dapat menambah serta memupuk kemesraan, kerjasama, bantu membantu dan mengukuhkan perpaduan sesama kita. Kalau dalam sehari ada dua tiga jemputan, seboleh-bolehnya hendaklah menghadiri jemputan itu. Kalau tidak, hendaklah hadir ke majlis jemputan yang lebih awal diterima.

Tiada ulasan: