Jumaat, 1 Ogos 2014

Dr Mahathir masih sokong sekatan Internet walaupun blog disekat di Facebook

Dr Mahathir Mohamad tidak peduli betapa sucinya hak kebebasan dan berasa sudah tiba masanya kerajaan Malaysia menapis Internet. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014.Walaupun rangkaian blog Tun Dr Mahathir Mohamad disekat di laman sosial Facebook, beliau masih mengulangi gesaan agar Putrajaya mengenakan sekatan Internet kerana kesan negatifnya mampu menggugat kestabilan moral awam.

Bekas perdana menteri itu berkata,  Internet memainkan peranan penting mencemarkan moraliti awam dan sebarang bentuk kebebasan akan mengundang risiko salah guna terutamanya melibatkan "hal-hal moral"."Saya tak peduli betapa sucinya hak kebebasan tetapi saya rasa sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia menapis Internet," katanya dalam tulisan diblognya www.chedet.cc hari ini.
Beliau yang juga bekas presiden Umno itu berkata, semasa menjadi perdana menteri pada mulanya berasa tidak perlu mengenakan sekatan Internet, tetapi apabila membayangkan kesannya kepada masyarakat awam menyebabkannya hari ini berubah fikiran."Internet berperanan besar dalam menggugat moraliti awam. 

Anak-anak kita tidak selamat daripada unsur lucah daripada media cetak dan elektronik."Hari ini setiap kanak-kanak boleh mengakses kepada bahan pornografi. Mereka tidak lagi selamat daripada gangguan seksual."Begitu juga terhadap anak muda lelaki dan perempuan apabila Internet membangkitkan perasaan yang kita kekang sebelum ini,"katanya.

Dr Mahathir semasa memimpin negara bersetuju Malaysia tidak perlu menyekat Internet kerana sebahagian daripada syarat yang dikenakan pelabur luar dan syarikat teknologi besar untuk membantu negara membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada pertengahan 1990-an.Blog chedet.cc pada minggu lalu disekat daripada diakses masuk ke dalam akaun Facebook miliknya selepas beliau menyiarkan artikel 'The Jews' yang menyentuh isu Yahudi dan peperangan di Gaza antara Palestin-Israel.

Menurut Dr Mahathir, beliau sudah menukar "server" dan "platform" sebanyak tiga kali tetapi cubaan menyekat blognya masih ada, belum termasuk spam dan virus yang menyerang blog.Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan melaksanakan sekatan kerana pengendali dan pemilik server juga memainkan peranan sama apabila mereka kadang kala diarahkan mengikut telunjuk politik."Tidak ada kebebasan dalam media alternatif. 

Kerajaan dan pemilik server dan rangkaian lain boleh menyekat media," katanya.Beliau berkata, tindakan itu jauh lebih murah dan mudah media elektronik dan akhbar yang berkhidmat di bawah lesen kerajaan."Saya rasa tiba masanya kita berhenti berccakap tentang kebebasan media. Mengakulah bahawa sebarang bentuk akhbar cetak perlu ditapis."Dr Mahathir berkata, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum ini sering melaungkan perjuangan hak mereka tetapi masyarakat memaksa mereka menyembunyikan kecenderungan luar tabii."Sekarang LGBT diterima dan masyarakat normal juga terpengaruh dengan amalam mereka yang dilahirkan serba kekurangan."Paling teruk terdapat agama yang melanggar perintah larangan terhadap seks songsang semata-mata mahu dilihat tidak ketinggalan zaman," katanya.

Dr Mahathir berkata, sumbang mahram, seks kanak-kanak, seks luar tabii dengan haiwan, parti liar, dan bermacam lagi amalan yang masih lagi dianggap salah pada masa ini tidak mustahil akan menjadi sebahagian perjuangan ekspresi terhadap kebebasan dan kesamarataan.

"Semua ini bermula daripada Internet," katanya. – 1 Ogos, 2014.

Tiada ulasan: