04 April 2015
Malang sekali sekiranya rakyat terkeliru atau dikelirukan atau tidak diberitahu tentang perkara paling asas dalam membentuk pentadbiran kerajaan dan pelaksanaan keadilan, iaitu sistem cukai. Jarang sekali disedarkan bahawa rakyat seluruhnya ialah pembayar cukai sama ada cukai langsung mahupun tidak langsung. Malang lagi, ada wakil rakyat yang tidak peka dengan cukai, walaupun dia lulusan universiti!
Kejahilan tentang sistem cukai boleh dikatakan meluas di kalangan orang Melayu kerana mereka menganggap cukai lebih melibatkan urusan antara peniaga dan kerajaan sahaja. Malahan peniaga runcit Melayu kebanyakannya tidak ambil kira soal cukai ini.
Kejahilan tentang sistem cukai boleh dikatakan meluas di kalangan orang Melayu kerana mereka menganggap cukai lebih melibatkan urusan antara peniaga dan kerajaan sahaja. Malahan peniaga runcit Melayu kebanyakannya tidak ambil kira soal cukai ini.
Memandangkan orang Melayu tidak ramai terlibat dengan perniagaan maka kepekaan mereka tentang tujuan, sistem dan buruk baik pelaksanaan cukai begitu rendah sekali.
Kebanyakan orang Melayu hanya menganggap cukai yang dipungut kerajaan hanyalah cukai tanah; cukai pendapatan; cukai yang mereka bayar kepada kastam di Rantau Panjang atau Pengkalan Kubur ketika balik daripada membeli belah di seberang sempadan; cukai jalan bagi yang ada kenderaan bermotor dan lesen memandu; lesen tv dan dua tiga perkara yang lain. Ini semua dikatakan cukai langsung yang dipungut ketika mereka berurusan dengan pegawai kerajaan. Disebabkan cukai-cukai langsung ini tidak begitu berat, mereka kurang mempersoalkannya.
Bagaimana dengan cukai tak langsung yang mereka bayar setiap hari tanpa disedari? Mereka tidak pernah ambil kira berapa cukai yang sedia ada pada tepung gandum, gula, minyak masak atau petrol, rokok, pakaian dan semua benda lain yang mereka beli setiap hari walaupun yang berharga lima sen. Perbualan mereka di telefon dicukai; begitu juga tambang bas. Apakah mereka tidak turut tolong membayarkan cukai pendapatan para tauke melalui harga barang yang mereka beli daripada tauke itu? Seterusnya, dapatkah mereka mengaitkan inflasi dengan cukai?
Apabila mereka tidak ambil kira (tidak sedar?) semua cukai yang mereka bayar setiap kali membeli atau menggunakan perkhidmatan (iaitu cukai-cukai tidak langsung), mereka juga tidak peka bagaimana kerajaan mencukai atau membelanjakan cukai.
Kerajaan tidak dapat berdiri tanpa cukai. Semua rakyat ialah pengguna dan semua pengguna dicukai. Kedudukan kerajaan hanyalah sebagai pemegang amanah yang menggunakan cukai untuk memberi kemudahan, menjamin keselesaan dan menjaga keselamatan umum.
Dalam masyarakat feudal, rakyat takut bertanya tujuan apa kerajaan mencukai. Terbentuknya kerajaan moden, lebih-lebih lagi bersistemkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, cukai menjadi perkara pokok yang dibahaskan di dalam semua mesyuarat pentadbiran dan sidang dewan perwakilan rakyat. Semua sidang ini terangkum di dalam agenda belanjawan, membabitkan persoalan bagaimana kerajaan boleh dapat wang (cukai) dan bagaimana hendak dibelanjakan. Tujuan asasi segala mesyuarat dan sidang itu adalah (sepatutnya) mempastikan pungutan hasil (cukai) oleh kerajaan dipulangkan semula kepada rakyat secara agihan yang adil dan saksama.
Orang Melayu tidak peka dengan soal cukai kerana masih ada lagi sikap hamba dan kekerdilan feudal yang tertanam di jiwa mereka. Parti pemerintah pula tidak berminat menyedarkan rakyat tentang hakikat cukai.
Setelah 58 tahun merdeka dan mengamalkan demokrasi berparlimen, ramai rakyat Melayu, khususnya, tidak tahu kedudukan mereka sebagai pembayar cukai, siapa yang berkuasa menentukan cukai dan siapa kutip cukai. Masanya sudah tiba bagi seluruh rakyat didedahkan dengan persoalan cukai. Rakyat yang buta huruf dan miskin pun wajar mengetahuinya. Mereka juga bayar cukai sekurang-kurangnya ketika makan dan minum.
Kejahilan rakyat tentang cukai menyebabkan politik wang berleluasa. Lebih malang lagi, parti politik yang berkuasa tidak begitu berminat meningkatkan kesedaran tentang cukai. Akibatnya, rakyat tidak begitu mempersoal, misalnya, dari mana wang yang digunakan sesetengah pemimpin untuk menyogok rakyat ketika pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan