Ahad, 6 November 2016

QASTAN ZARIAN NAMA ASAL KERAJAAN PURBA PERAK

ASAL USUL PERAK PURBA





Menurut Sejarah Melayu sebelum munculnya nama Negeri Perak terdapat suatu kuasa besar yang dinamakan sebagai Kerajaan Gangga Negara (atau Qastan Zarian) yang terletak di satu kawasan yang dipanggil Daerah Dinding sekarang. Dikhabarkan kekuasaann kerajaan ini hingga meliputi Daerah Kinta, Perak Tengah dan Daerah Kuala Kangsar. Mengikut buku Sejarah Perak Dahulu Dan Sekarang, Kerajaan Gangga Negara diasaskan oleh Raja Ganjil Sarjuna daripada Kedah sebelum kurun ke-2, tetapi ada juga cerita yang menyebutkan bahawa kerajaan tua itu diwujudkan oleh Raja Khmer iaitu sebuah empayar yang meliputi Negara Kemboja sekarang. Kedua-dua versi ini adalah boleh diterima kerana kerajaan Kedah Tua adalah warisan dari Kerajaan Khmer. Kerajaan Gangga Negara dinyatakan berpusat di Beruas dan telah wujud sebelum abad ke-8 Masehi.
Namun ada riwayat mengatakan Gangga Negara adalah sebuah kerajaan di bawah pengaruh Funan. Jika benar, keujudan Gangga Negara adalah lebih awal lagi kerana Empayar Khmer ujud selepas keruntuhan Empayar Funan.
Dalam tahun 890 seorang anak Raja keturunan dinasti Sailendra Jawa bernama Bolaputra telah menyerang dan mengalahkan Kerajaan Gangga Negara. Pada masa itu, kerajaan Gangga adalah sangat makmur dan rakyatnya menggunakan emas sebagai perhiasan. Perdagangan dijalankan di Sungai Dinding. Penduduk sangat ramai, dikhabarkan, jika seekor kucing melintasi bumbung rumah, ia akan mengambil masa yang cukup lama untuk mencecah tanah. Tetapi setelah berkahwin dengan puteri Raja Gangga Negara, Raja Bolaputra pun berundur.
Pada kurun ke-11, Kerajaan Gangga Negara sekali lagi diserang tetapi pada kali ini oleh Raja Chola Rajendran I (Rajendran Chola Deva I dan Raja Suran) dan menyebabkan kemansuhan Kerajaan Gangga Negara. Raja Suran pula mungkin juga keturunan Raja Suran yang keturunannya telah membentuk kerajaan di Sailendra di Palembang dan Jawa dan akhirnya membentuk kerajaan Minangkabau dan Melaka. Kemudian itu wujudlah dua buah kerajaan iaitu Kerajaan Beruas dan Kerajaan Manjung. Kerajaan Beruas ini berpusat di Kampung Kota dan kerajaan ini sentiasa bersengketa dengan Kerajaan Manjung sehingga selalu berperang. Kerajaan Beruas dikatakan ditubuhkan oleh kerabat dari Sumatera Utara. Ini mungkin berkaitan tentang pengusaan Selat Pangkor, iaitu satu tempat yang amat baik untuk kapal perdagangan berlabuh. Akhirnya, Kerajaan Beruas telah meminta bantuan daripada Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka untuk mengadili kes ini. Sultan Melaka pun menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjung dan telah mengalahkan Kerajaan Manjung dengan mudahnya.
Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A’fifullah Shah ( Sultan Perak 33 ) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin ( Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Namun ketika itu, Negeri Melaka yang sebenar telah terjajah dengan Portugis. Sultan Melaka ketika itu bersemayam di Negeri Kampar, Pulau sumatera. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Ketiga-tiga pemimpin dari tiga daerah ini telah meminta seorang raja dari Melaka. Akhirnya Raja Ahmad, anak sulung Sultan Mahmud diangkat menjadi Sultan Perak yang pertama.
Pada zaman 1870an, Negeri Perak telah menerima Residen Inggeris melalui Perjanjian Pangkor. Sehubungan itu, Kerajaan Perak telah menyerahkan Daerah Dinding ini termasuk Pulau Pangkor kepada Inggeris. Istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula jajahan Dinding kepada Kerajaan Perak telah diadakan pada 16 Februari 1935 bertempat di hadapan Rest House Lumut. Bersempena dengan peristiwa itu, Jajahan Dinding telah ditukar namanya kepada Iskandar District dan Tanah Merah ( Lumut ) ditukar namanya kepada Port Iskandar. Sultan Perak juga telah berkenan melantik Raja Shahriman bin Raja Abdul Hamid sebagai Orang Besar Jajahan. Bagi memperingati peristiwa ini Masjid Al-Adli telah dibina melambangkan kesyukuran di atas penyerahan Dinding kepada Kerajaan Perak. Kini jajahan ini lebih dikenali sebagai Manjung.
Daerah Manjung merupakan sebuah unit pentadbiran yang merangkumi mukim Beruas dan Setiawan. Manjung yang dahulunya pernah menjadi jajahan takluk Beruas apabila pernah ditewaskan oleh Beruas dalam satu pertempuran, kini memasukkan Beruas sebagai salah satu
Untuk mengingati kembali kegemilangan kerajaan purba, jajahan yang dahulunya dikenali juga dengan panggilan Dinding ditukar namanya menjadi Daerah Manjung pada 1 Januari 1982 yang mana ia merupakan satu unit pentadbiran yang juga merangkumi mukim Beruas dan Sitiawan.
Manjung yang dahulunya menjadi jajahan takluk Beruas apabila apabila ia dikalahkan oleh Beruas dalam satu pertempuran dengan bantuan bala tentera dari Melaka, kini memasukkan pula Beruas dibawah daerah pentadbirannya. Sehingga tahun 1935 jajahan itu tidak dianggap sebagai sebahagian daripada negeri Perak. Lantaran itu pembangunan di situ berjalan agak lembab meskipun ia mempunyai banyak potensi yang boleh di majukan, khususnya dari segi perdagangan antarabangsa. Hanya selepas tahun 1935, barulah usaha untuk memajukan jajahan Dinding dipergiatkan tetapi tidak untuk menjadikan Lumut sebagi pelabuhan. Ini disebabkan terikat dengan perjanjian sulit antara kerajaan negeri-negeri selat dengan kerajaan Perak di mana dipersetujui yang kerajaan Perak tidak akan berbuat demikian, jika tidak jajahan Dinding tidak akan dikembalikan kepada Perak. Jajahan dinding dan Bandar Lumut sebagai pusat pentadbirannya mengambil masa yang agak panjang untuk membangun. Hampir enam dekad lamanya baru ada usaha-usaha untuk mengembalikan kegemilangannya.
Tokoh terlibat Nahkoda Mohamad Taib adalah orang yang bertanggungjawab dalam pembangunan awal Daerah Manjung yang dahulunya dikenali dengan nama Daerah Dinding. Sejarah bermula di Kuala Sepit di sekitar 1857. Beliau juga dikenali dengan nama Tok Noda telah mendapat perkenan dari Sultan Muazzam Shah untuk membangunkan Daerah Dinding setelah ramai yang gagal sebelum ini kerana serangan ganas pihak lanun. Dengan semangat dan iltizam yang tinggi beliau telah berjaya menyelesaikan masalah tersebut. Laluan laut yang selamat telah menggalakkan para pedagang untuk ke Kuala Sepit dan bermulalah kemajuan dan kemakmuran Daerah ini.


Tiada ulasan: