Ahad, 23 November 2014

TIDAK AKAN MASUK SYURGA ORANG YANG SOMBONG

SOMBONG adalah penyakit hati yang sering menghinggapi kita semua. Benih kesombongan terlalu kerap muncul tanpa kita sedari.
Kita sebenarnya terdiri atas dua kutub, yaitu ego di satu kutub dan kesedaran sejati di lain kutub. Pada saat terlahir ke dunia, kita dalam keadaan TERLANJANG dan tak punya apa-apa. Akan tetapi, seiring dengan waktu, kita mulai memupuk berbagai keinginan, NAFSU lebih dari sekadar yang kita mahukan dalam hidup. Justru, indra kita selalu mengatakan bahwa kita memerlukan lebih banyak lagi.

Untuk sentiasa melawan kesombongan dengan segala bentuknya, kita perlu menyedari bahwa pada hakikatnya kita bukanlah makhluk fisik semata, tetapi makhluk spiritual. Kita lahir dengan tangan kosong, dan kita pun akan meninggal dengan tangan kosong.

    ”Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepada-Nyalah kami kembali.” (Al-Baqarah, 2: 156)
Allah subhanahu wa ta'ala menyebutkan bahwa alam akhirat dan segala kenikmatannya yang tidak pernah berakhir, diperuntukkan bagi hamba-hamba-Nya yang mukmin, yang tidak ingin merasa tinggi diri dan lebih mulia di hadapan makhluk lainnya. Mereka inilah yang telah Allahsubhanahu wa ta'ala tanamkan kemuliaan dan ketawadhu'an di dalam sanubari mereka, dan Allah subhanahu wa ta'ala sediakan untuk mereka syurga Firdaus yang indah dan tidak pernah terbayangkan kenikmatannya. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:

    "Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakaan di muka bumi. Dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Al-Qashash, 28: 83)

Sifat Sombong Atau Takabbur


Ditulis oleh Siti Shamsiah Binti Md Supi. Posted in Artikel
Perjalanan hidup sebagai seorang muslim sebenarnya adalah suatu perjalanan seorang hamba kepada Penciptanya yang mengharapkan keredaan dan keberkatan-Nya. Mengorak langkah perjalanan ini akan menemukan kita dengan pelbagai persoalan dan permasalahan hidup. Persoalan mengenai pengabdian kita terhadap Pencipta dan permasalahan hidup sesama manusia.
Apabila kita berurusan dengan manusia, bermakna kita berhadapan dan berurusan dengan kerenah dan tingkah laku manusia.. Kebiasaannya kita berpendapat bahawa pertimbangan kita dalam menghadapi kerenah manusia atau dalam kita berurusan dengan manusia merupakan suatu pertimbangan yang paling tepat dan terbaik bagi diri kita. Tindak tanduk yang kita lakukan adalah berdasarkan kepada pertimbangan dan budi bicara yang kita rasa amat tepat dan wajar untuk dilakukan. Biarpun dalam keadaan kita bersikap biadap, marah atau acuh tak acuh dan kesannya, ia akan dipertikai oleh orang lain, tetapi pada kita itulah pertimbangan pertama yang paling sesuai dan wajar.
Antara sikap yang amat tidak digemari oleh manusia untuk dihadapi ialah sikap sombong atau takabbur. Walaupun sikap ini tidak menyebabkan kekurangan kepada diri orang lain secara fizikalnya, tetapi mengucapkan perkataan-perkataan yang berbaur ketakburan atau kesombongan menyebabkan orang yang mendengar merasa meluat, tersinggung dan panas hati.
Apakah tanggapan agama terhadap sikap sombong atau takabbur? Adakah Islam amat memberi perhatian kepada sikap ini yang pada lahirnya tidak memberi kesan yang nyata kepada diri pelaku atau orang di sekeliling? Di dalam ruangan ini kita akan cuba mengupas secara terperinci mengenai sikap sombong atau takabbur ini.
Sombong atau takabbur ertinya perasaan tinggi diri oleh si pelaku terhadap satu atau lebih mengenai dirinya dalam aspek-aspek kehidupan. Seseorang itu boleh bersikap sombong kepada orang di sekelilingnya jika dia mendapati kedudukannya lebih tinggi berbanding orang di sekelilingnya. Kesombongan atau ketakabburan juga boleh berlaku apabila manusia mendapati keturunannya, sifat lahiriahnya sama ada cantik, kacak atau perkasa ataupun kaya dari segi material adalah lebih berbanding dengan orang lain.
Di dalam hal ini kita perlu menyedari hakikat bahawa tidak ada satu makhlukpun di dunia ini yang mengatakan bahawa dia berhak untuk berlaku sombong. Ini kerana, kesombongan atau kebanggaan itu menunjukkan kebesaran atau kehebatan diri seseorang. Sedangkan kebesaran atau kehebatan adalah kriteria mutlak yang menjadi milik Allah s.w.t., dan tidak ada seorangpun yang boleh memilikinya. Ini seiring dengan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."
Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia?
Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. Pandangan tersebut mungkin suatu pandangan yang secara faktanya benar. Umpamanya jika kita membandingkan pendapatan sebanyak RM7000.00 sebulan dengan pendapatan sebanyak RM3500.00 sebulan, tentulah jumlah pendapatan pertama jauh lebih besar berbanding dengan jumlah pendapatan kedua. Walau bagaimanapun, kesombongan itu berlaku apabila pandangan tersebut beriringan dengan anggapan orang yang dipandangnya itu lebih kecil, serba kekurangan atau kurang berharga berbanding dengan dirinya. Ketakabburan berlaku apabila pandangannya itu tidak disertakan dengan kesyukurannya kepada Allah s.w.t. kerana memberi kelebihan tersebut. Secara tidak langsung dia menganggap apa yang dimilikinya itu tidak mempunyai kaitan dengan rahmat atau rezeki yang diberikan oleh Allah. Ataupun dia menganggap bahawa dia sememangnya individu istimewa kerana itu Allah memilihnya untuk memiliki kelebihan tersebut. Maka orang yang sombong dan takabbur itu menganggap dirinya lebih mulia dan terhormat berbanding dengan orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk."
Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu ilmu pengetahuan, amalan dan peribadatan, keturunan, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan, kekuatan fizikal dan kuasa atau pengaruh.
1) Dalam aspek ilmu pengetahuan, lazimnya kesombongan itu berlaku apabila seseorang itu telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tentang ilmu yang ada padanya. Mungkin apabila orang memberi 'title' ustaz, orang alim atau sebagainya, pada anggapannya dia benar-benar telah berilmu. Lantas, orang yang sombong inipun menganggap orang lain itu bodoh dan jahil
Sebaliknya, haruslah disedari bahawa menuntut ilmu pengetahuan bagi seorang muslim sebenarnya adalah untuk membawa diri dan jiwanya kepada suatu keinsafan tentang kedudukannya sebagai seorang hamba dan kedudukan Tuhannya sebagai Pencipta. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya seharusnya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Seiring dengan firman Allah yang bermaksud;
"Bahawasanya yang dapat merasakan takut kepada Allah dari golongan hamba-hamba-Nya itu ialah alim ulama"
2) Amalan dan peribadatan. Memang tidak dinafikan, apabila masyarakat mengiktiraf seseorang itu sebagai orang warak dan bertakwa, bagi mereka yang sombong dan takabbur, dia akan mengira-ngira dia telah banyak melakukan amal ibadat. Dia akan mengharapkan agar dia diberi keutamaan dalam majlis-majlis tertentu, diraikan dan diberi puji-pujian oleh masyarakat.
3) Keturunan atau salasilah. Tanpa sedar, manusia lazimnya akan berbangga dengan keturunan mereka seperti daripada kerabat diraja, golongan aristokrat, bangsawan dan sebagainya. Perasaan ini secara tanpa sedar juga pernah dialami oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w., yakni Abu Dzar. Beliau berkata;
"Pada suatu hari, ketika aku berada di hadapan Rasulullah s.a.w., datanglah seorang yang berkulit hitam. Lantas saya menyapanya, "Hai anak orang hitam" Apabila Rasulullah s.a.w. terdengar sahaja aku menyebut anak orang hitam, baginda menempelakku dengan mengatakan; Hai Abu Dzar, tidak ada kelebihan bagi seseorang yang berketurunan kulit putih di atas orang yang berketurunan kulit hitam. Alangkah menyesalnya aku apabila telah terlanjur mengucapkannya. Lalu akupun membaringkan tubuhku dan berkata kepada orang tersebut; Nah saudara, pijaklah pipiku ini."
4) Kecantikan atau ketampanan. Kesombongan atas sebab ini amat mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Suatu anugerah yang Allah berikan sejak dari manusia dilahirkan. Orang yang cantik atau tampan mudah sahaja menjadi tumpuan orang-orang yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat, sudah pasti amat mudah merasa bangga dan sombong dengan apa yang ada padanya.
5) Kesombongan amat mudah berlaku di kalangan mereka yang berada dan kaya. Terdapat satu kisah yang menceritakan tentang perkara ini yang boleh dijadikan sebagai suatu pengajaran;
Abu Bakar Al-Hazali berkata:
"Suatu hari kami bersama Hassan. Lalu Ibn al-Ahlam datang kepada kami hendak bercukur. Dia memakai jubah sutera tersusun di atas betis, tersingkap pula bahagian luarnya. Dia berjalan berlenggang. Perbuatannya yang sedemikian itu dilihat oleh Hassan, lalu Hassan pun berkata: "Sombongnya, dia memalingkan pipi dan menampakkan kebodohannya. Engkau akan terlihat kebodohanmu dalam nikmat yang tidak disyukuri dan tidak menggunakannya sesuai dengan perintah Allah serta tidak pula memberikan haknya pada setiap yang memerlukan. Nikmat itu hak Allah dan dengannya syaitan sentiasa mencari mangsa. Demi Allah, seseorang yang berjalan dengan wataknya atau bergerak seperti orang gila itu lebih baik daripada ini." Ibn al-Ahlam mendengar lalu dia kembali dan minta maaf kepadanya. Hassan berkata, "Jangan kau minta maaf padaku, tapi bertaubatlah kepada Allah. Tidakkah engkau dengar firman Allah,
(Yang maksudnya berbunyi) :"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tiada dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung." (Al-Isra' :37)
6) Kekuatan dan keperkasaan tubuh. Manusia amat mudah merasa amat bangga dan sombong apabila memiliki tubuh yang kuat dan perkasa. Kelebihan yang dimilikinya kadang-kadang menjadi bahan untuk mengancam orang lain yang lebih lemah. Atau untuk memaksa orang-orang yang lebih lemah menuruti kemahuannya. Di dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
"Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya pada waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu semua itu ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia mampu untuk membalasnya."
7) Manakala perkara yang terakhir sekali yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali sebagai perkara yang boleh menimbulkan kesombongan ialah pengaruh ataupun kuasa.
Pemimpin yang tertipu dengan perasaannya, walau di peringkat mana sekalipun kepimpinannya akan merasa bahawa dirinya sudah cukup hebat berbanding orang lain.
Kesombongan atau takabbur merupakan suatu perasaan yang apabila ia timbul dan tidak dikendalikan dengan baik dan penuh keinsafan, akan menjadikan pemiliknya amat kerugian. Ini kerana sikap ini mampu menjadi penghalang bagi seseorang untuk ditempatkan di dalam syurga, disebabkan sifat ini menjadi pemisah antara seseorang dengan akhlak dan budi pekerti kaum mukmin keseluruhannya. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, takabbur atau sombong adalah rasa tinggi diri berbanding dengan orang lain. Seseorang yang memiliki sifat ini sudah pasti tidak mempunyai perasaan menyayangi saudara mukminnya yang lain sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.
Orang yang sombong juga tidak akan dapat meninggalkan perasaan dendam, memberi nasihat kepada saudara muslim yang lain secara jujur atau ikhlas dan tidak dapat melaksanakan budi pekerti yang baik.
Sifat sombong atau takabbur juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu awal-awal lagi akan disisihkan oleh Allah swt di dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;
"Nanti Aku palingkan daripada ayat-ayatKu orang-orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran." (Al-A'raf: 146)
Selain itu natijah kesombongan juga, menyebabkan pintu hati pengamalnya tertutup dari menerima hidayah dan kebaikan dari Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
"Demikianlah Allah menutup tiap-tiap hati orang yang sombong lagi ganas (memaksa rakyat)." (Surah Al-Mukmin : 35)
Apa yang lebih malang, pemilik sifat takabbur yang menafikan hak-hak Allah akan ditempatkan ke dalam neraka seiring dengan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, mereka itu akan masuk neraka Jahannam dengan menderita kehinaan." (Surah Al-Mu'min: 60)
Dan ini diperkukuhkan lagi oleh dua buah hadis yang berbunyi yang bermaksud;
"Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."
Manakala Hadith kedua bermaksud;
"Tidak akan masuk syurga seseorang yang bakhil dan berbuat sewenang-wenang (kerana kesombongannya)."
Sebagai suatu kesimpulan, sesungguhnya sifat sombong atau takabbur, selain ia dicela di dunia oleh Allah serta orang-orang mukmin, ia adalah sifat yang amat merugikan seseorang itu di dunia dan di akhirat. Apakah kita sebagai hamba yang penuh kedhaifan dan serba kekurangan ini layak untuk menganggap diri kita hebat? Sebagai manusia, Allah menganugerahkan kepada kita kelebihan-kelebihan tertentu agar kita menjadi lebih mudah untuk meniti perjalanan hidup ke arah kehidupan yang lebih abadi. Kelebihan yang diberi bukanlah bererti yang kita diberi izin untuk mendabik dada kepada orang lain. Suatu hakikat yang perlu kita sama-sama sedari ialah, tidak ada manusia yang sempurna dari segala segi. Di mana kelebihan manusia, di situlah sebenarnya kelemahan atau kekurangannya berada.
Maka kita sewajarnya sama-sama menginsafi bahawa keagungan, kehebatan dan sifat sombong itu hanya dimiliki oleh Allah. Dan bagi manusia, sifat sombong atau takabbur sebaik-baiknya dengan dengan sifat tawaddhu'. Sifat tawaddhu' adalah sifat rendah diri dan menginsafi diri bahawa manusia itu perlu sentiasa berada di bawah ketundukan dan ketaat kepada Allah s.w.t. Sifat inilah sebenarnya yang mengangkat darjat manusia di sisi Allah s.w.t. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud;
"Barang siapa bertawaddhu' kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."

Ahad, 16 November 2014

Buruk Sangka




Buruk sangka terbahagi dua, iaitu:
Pertama:  Prasangka yang membawa kepada keburukan walaupun pada mulanya ia menyangka atau berniat baik. Misalnya menambah atau mengurangkan sesuatu amal yang tiada hujjahnya dari syara, maka ia diharamkan kerana selain bertentangan dengan syara ia juga adalah bid’ah yang diharamkan.  Dalilnya dapat difahami dari firman Allah Azza wa-Jalla:
وَهُمْ يَحْسَبُوْنَ اَنَّهُمْ يُحْسِنُوْنَ صُنْعًا 
"Dan mereka mengira (menyangka) bahawa apa yang mereka lakukan adalah baik (kebaikan)".AL KAHFI, 18:104.

Menurut ayat di atas, perkiraan atau sangkaan mereka yang baik dalam mencipta serta mengadakan- adakan suatu amal yang baru adalah salah walaupun dengan niat yang baik dan kerana Allah, kerana menambah atau mengurangkan sesuatu dalam agama Islam tidak pernah ada keizinannya dari Allah Subhanahu wa-Ta’ala.  Agama Allah (Islam) sudah sempurna sehingga tidak perlu ditokok tambah sebagaimana firman Allah:
اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ
"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu".AL MAIDAH, 5:3.

Kedua:  Buruk sangka dari hati yang sedar dan disengajakan oleh pembuatnya.  Al-Quran dan as-Sunnah telah menjelaskan bahawa kebanyakan manusia mempunyai rasa buruk sangka terhadap Allah dan agamaNya.  Termasuklah mereka yang mengakui sebagai muslim lantaran kejahilannya.  Sama ada mereka berburuk sangka terhadap Allah mengenai kesempurnaan syariatNya atau terhadap kebenaran dan kesucian agamaNya.  Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
وَمَا يَتَّبِعُ اَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja, sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun  berguna untuk mencapai kebenaran". 
YUNUS, 10:36.

Buruk sangka terhadap Allah sehingga kurang meyakini akan kebesaranNya, kebijaksanaanNya dan kuasaNya untuk melakukan segala apa sahaja yang dikehendakiNya.  Atau tidak dapat menerima hakikat bahawa manusia dicipta untuk diuji dan untuk menghambakan diri kepada Allah,  maka penafian dan keingkaran yang tidak berasas ini diistilahkan sebagai buruk sangka terhadap Allah.  Sikap manusia seperti ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
وَقَالُوْا مَاهِى اِلاَّ حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوْتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَآ اِلاَّ الدَّهْرُ وَمَالَهُمْ بِذَالِكَ مِنْ عِلْمٍ اِنْ هُمْ اِلاَّ يَظُنُّوْنَ
"Dan mereka berkata:  Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah sangkaan sahaja".  AL JAATSIYAH,  45:24.

اَفَحَسِبْتُمْ اَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَانَّكُمْ اِلَيْنَا لاَ تُرْجَعُوْنَ
"Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?".  AL MU'MINUUN, 23:115.

Orang-orang yang kufur dan fasik menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka, begitu juga dengan perkiraan sebahagian orang-orang yang jahil yang menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka selagi mereka mengakui sebagai orang Islam sedangkan mereka tidak melaksanakan kewajiban syara seperti sembahyang, puasa dan lainnya.  Allah telah menjelaskan tentang orang-orang yang fasik seperti ini sebagaimana firmanNya:
لاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِيْنَ يَفْرَحُوْنَ بِمَآ اَتَوا وَّيُحِّبُّوْنَ اَنْ يُحْمَدُوْا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوْا فَلاَ تَحْسَبَنَّهُمْ بِمَفَازَةٍ مِنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ. 
"Janganlah kamu sekali-kali menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan janganlah kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dari siksa, dan bagi mereka siksa yang pedih". ALI IMRAN, 3:188.

Ada segolongan manusia yang berburuk sangka terhadap penerimaan Allah tentang sebahagian amal ibadah yang telah dikerjakan, ia menyangka ada amal ibadahnya yang tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala.  Ia berpunca sama ada disebabkan keraguan atau penyakit was-was. Keraguan dan was-was seperti ini adalah haram dan boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah.  Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang umatnya dari berasa ragu-ragu dan was-was tentang ibadah yang telah dikerjakan sebagaimana sabda baginda:
(وَذَالِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِىعَنْ جَابِرٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَيَمُوْتَنَّ اَحَدُكُمْ اِلاَّوَهُوَ مُحْسِنٌ بِاللهِ الظَّنَّ فَاِنَّ قَوْمًا قَدْ اَرْدَاهُمْ سُوْءُ ظَنِّهِمْ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ اَرْدَاكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ مِنَ الْحَاسِرِيْنَ)
"Dari Jabir berkata: Bersabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam:  Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah Azza Wajl (sebagaimana firman Allah) "Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, prasangka itu telah membinasakan dirimu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi".  (FUSHSILAT, 23:41).  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Orang-orang yang beriman diharamkan dari meragui apa sahaja perkara dan kejadian yang berlaku terhadap dirinya atau terhadap yang lainnya sehingga membelakang dan mengenepikan Allah atas urusan tersebut, kerana keraguan seperti itu boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah.
هُعَنْ اَبِى بَكْرٍ قَالَ : قُلْتُ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَنَا فِى الْغَارِ لَوْ اَحَدَهُمْ نَظَرَ تَحْتَ قَدَمَيْهِ لاَبْصَرَنَا فَقَالَ : مَا ظَنُّكَ يَا اَبَا بَكْرٍ بِاثْنَيْنِ الل ثَالِثُهُمِا
"Dari Abi Bakar berkata:  Aku katakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan aku di dalam gua:  Jika salah seorang dari mereka melihat (melalui) bawah kakinya, nescaya akan melihat kita hanya berdua.  Maka baginda bersabda:  Tidaklah begitu persangkaanmu wahai Abi Bakar, dengan berdua (dan) Allah yang ketiga".  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.
    
Kesemua dalil-dalil dari al-Quran dan hadith di atas menjelaskan bahawa berburuk sangka (berperasangkaan buruk) terhadap Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam apa hal sekalipun adalah perbuatan keji dan kufur (syirik terhadap Allah).  Buruk sangka terhadap Allah adalah sikap orang-orang kafir (musyrikin) jahiliah yang sangat dikutuk dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala.
Setiap orang yang beriman dilarang dari berburuk sangka terhadap keadilan Allah kepada makhlukNya, berburuk sangka terhadap kesempurnaan agama Allah dan berburuk sangka terhadap kekuasaan Allah sehingga membelakangkan Allah dalam segala aspek dan cara hidup yang dianggap ibadah oleh syara.

Santapan Jiwa

"Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
(al-Qasas, 28:56)

"Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti suatu kebodohan. Tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah dan malas,""Perubahan pada diri umpama pintu yang terkunci dari dalam. Ia tidak akan dapat dibuka jika tuan punya diri tidak membuka dengan kunci yang ada ditangannya sendiri.""Hanya lidah yang mahu berdusta dan berbohong. Namun pandangan mata, hayunan kedua belah tangan, langkah kedua belah kaki dan pergerakan tubuh atau seluruh anggota badan akan menafikan apa yang diucapkan oleh lidah."
~Saidina Ali bin Abi Talib~

"Allah telah letakkan kejayaan ikan-ikan bila mana mereka dapat hidup di laut. Apabila mereka cuba keluar dari laut, maka mereka akan mati. Begitu juga dengan cacing yang keselamatan mereka telah ditetapkan di dalam tanah. Jika mereka keluar dari tanah, mereka akan kepanasan. Sama juga dengan manusia yang telah Allah letakkan kejayaannya dalam agama. Jika manusia cuba keluar dari agama, manusia akan sengsara."

"Setenang manapun sesebuah sungai itu,suatu hari akan melalui bahagian deras,, berbatu, cerun dan sebagainya. Begitu juga dengan kehidupan, tidak ada orang yang tidak merasai kesusahan sedikitpun sepanjang hidupnya, dan kita tidak akan dapat kembali ke masa dahulu lagi. Tetapi suatu perjalanan itu ada destinasinya, ingatlah destinasi sungai jatuh ke laut manakala destinasi manusia pula kepada pencipta~Nya"

Sabtu, 15 November 2014

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia


MUNGKIN ramai yang tidak tahu sejarah di sebalik keindahan Pulau Poveglia, iaitu salah satu pulau kecil yang terletak di Itali.

Terletak di antara sempadan Itali dan Lido, pulau in dikatakan menyimpan sejarah yang agak menakutkan.

Sejarah bagi pulau ini bermula pada tahun 1379 apabila ia dikatakan menjadi tempat persembunyian bagi pelarian perang ketika berlakunya siri peperangan di Eropah.

Pulau ini tidak didiami oleh sesiapa pada abad-abad berikutnya.

Kisah hitam pulau ini dicatatkan pada tahun 1793 apabila serangan wabak penyakit melanda Itali.

Dikatakan, pulau tersebut menjadi lokasi ‘ideal’ bagi kerajaan Itali untuk mengkuarantin pesakit bagi wabak bubonik, taun, denggi dan sebagainya daripada menjangkiti atau menyebarkan virus kepada penduduk di tanah besar Itali.

Menurut masyarakat tempatan, pesakit yang dihantar ke pulau itu akan dibakar hidup-hidup atau dibiarkan kelaparan sehingga mati.

Malah ada yang mengatakan, sebilangan pesakit yang dibawa ke pulau itu akan dicampakkan ke dalam sebuah lubang yang dipenuhi rangka dan tengkorak manusia.

Pada tahun 1922, sebuah rumah sakit jiwa dibangunkan di pulau indah itu.

Namun wujud pelbagai laporan mengatakan, kesemua pesakit jiwa yang mendapat rawatan di pulau tersebut mati akibat kekejaman doktor yang melakukan pelbagai uji kaji dan eksperimen kejam ke atas pesakit mereka.

Dikatakan, doktor yang merawat pesakit-pesakit di hospital sakit jiwa itu membunuh diri dengan terjun dari menara lama yang terdapat di hospital berkenaan.

Pulau itu terbiar tanpa penghuni sejak tahun 1968.

Sehingga kini, Pulau Poveglia seluas 68 kilometer persegi ini mencatatkan kematian sehingga 160,000 nyawa.

Menurut laporan portal The Telegraph pada April tahun ini, pulau tersebut sedang dilelong oleh kerajaan Itali untuk dibangunkan kepada pusat peranginan mewah.

Hasil carian Sinar Harian Online menerusi aplikasi satelit Google Map menunjukkan bangunan lama pulau tersebut masih dikekalkan sehingga kini.

Namun pulau itu dilaporkan mulai dikawal ketat oleh pihak kerajaan dan ditutup kepada pelawat mulai tahun ini

Sweden Pula Membuatkan Israel Menggelupur!

Sweden iktiraf negara Palestin

STOCKHOLM: Sweden pada Khamis secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, sebulan selepas kerajaan republik itu mengumumkan hasratnya untuk berbuat demikian, kata menteri luarnya di Stockholm.

"Hari ini kerajaan mengambil keputusan mengiktiraf negara Palestin," kata Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom dalam satu kenyataan yang disiarkan di akhbar Dagens Nyheter.

"Ini adalah langkah penting yang mengesahkan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri," katanya dan menambah "kami berharap ini akan menunjuk jalan kepada yang lain."

Perdana Menteri Sweden, Stefan Loefven dalam ucapan sulungnya di Parlimen selepas memegang jawatan pada awal Oktober lalu berkata negaranya akan jadi anggota Kesatuan Eropah yang pertama di Eropah Barat yang akan mengiktiraf negara Palestin.

Pengumuman Sweden itu disambut baik oleh Palestin. Israel bagaimanapun memanggil Duta Sweden ke Tel Aviv untuk merakamkan bantahan dan menyatakan rasa kesal.

Israel mempertahankan pendirian bahawa Palestin hanya boleh mendapat pengitirafan sebagai negara melalui rundingan lansung dan bukannya melalui saluran diplomatik yang lain.

Tujuh negara anggota EU di Eropah Timur dan Meditterannean sebelum ini telah melakukan langkah yang sama iaitu Bulgaria, Cyprus, Republik Czech, Hungary, Malta, Poland dan Romania. Iceland yang bukan negara anggota Eu adalah satu-satunya negara di Eropah Barat yang telah membuat pengiktirafan sama.

Amerika Syarikat sebelum ini memberi amaran kepada Sweden langkah mengiktiraf Palestin bersifat "pramatang" dan menegaskan negara Palestin hanya boleh dibentuk melalui rundingan antara Israel dan Palestin.

Dalam pengumuman pengiktirafan itu, menteri luar Sweden berkata "kerajaan menganggap kriteria undang-undang antarabangsa untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin telah dipenuhi."

PANAS ~ Akhirnya Rahsia Tun M Terbongkar Jua..!


Setiap pemimpin besar pasti ada sejarah dan rahsianya yang tersendiri..! Jika tidak bagaimana seseorang pemimpin seperti Tun Dr Mahathir boleh menjadi pemimpin dunia..! 

Disegani kawan dan lawan..! Diakui dan diiktiraf oleh seluruh pelusuk dunia..!

Baca tulisan Pak Yahya Ismail dibawah ni..

MENGAPA TUN M BOLEH BERKUASA SELAMA 22 TAHUN?
Saya bukan pemuja Tun M. Saya pernah mengkritik kepimpinannya dalam beberapa buah buku waktu beliau menjadi PM. Kalau saya hidup di Indonesia era Suharto, atau Singapura sekarang atau negara2 yang dikuasai diktator sudah pasti saya akan diamankan dalam tahanan. 

Dia tegas, ada disiplin, berilmu, sangat yakin pada diri sendiri, seorang pemimpin yang berani menentang arus mempertahankan maruah bangsa, ugama dan negaranya. 

Ini watak Tun M. Saya mengenali beliau sejak beliau menjadi doktor di Alor Star lagi. Banyak pesakit Melayu yang miskin datang ke kliniknya. Tidak berduit untuk membeli ubat. Dia bagi percuma, malah bagi duit tambang bas lagi. Dia tahu penderitaan bangsanya kerana dia dilahirkan dalam keluarga besar di Kedah yang kaya dengan kemiskinan. 

Kalau tidak ada pesakit dia akan membaca menambah ilmu. Kerana dia cintakan ilmu dan terus menerus menguasai ilmu maka dia boleh bertahan selama 22 tahun sebagai PM. 

Dia berjaya mengangkat martabat Melayu dan menjadikan Msia nama tersohor di pentas politik dunia kerana penghormatan dan kebijaksanaannya dalam politik, membangunkan negara dan menjalin hubungan akrab antara negara-negara Blok Ketiga untuk kemakmuran bersama. 

Dia bukan boneka US apalagi Zionis atau tunduk pada Lee Kuan Yew. Bila dia dapat memulihkan ekonomi Msia dengan cepat selepas Soros menghancurkan ekonomi Asia pada tahun 1997 (Anwar gagal memulihkan ekonomi tau) Mahathir mendapat kepujian seorang pakar ekonomi yg mendapat Hadiah Nobel kerana kebijaksanaannya. 

Mantan Presiden US, Clinton, dalam lawatannya ke Msia berkata dia dan kabinetnya mula memberi perhatian serius terhadap Mahathir dan Msia selepas dia berjaya mengatasi kemelut ekonomi tahun 1997. Siapa itu Mahathir. US mahu kenalnya dari dekat..

Orang boleh melabelkan Tun M sebagai diktator, Mahafiraun, apa saja tapi satu hal yang nyata dia ada visi, kaya dengan ilmu dan Msia tidak menjadi boneka US, Zionis atau tunduk pada Simngapura atau bermuka-muka mengemis sokongan kaum2 lain untuk mendapat sokongan mereka.Ini watak Tun M yang sebenar.

Bila pemimpin tidak mengenali kemiskinan rakyat kerana hidup serba mewah, miskin ilmu, berjiwa liberal, mengamalkan budaya foya-foya, rapuh semangat, kurang didikan ugama maka ia mudah terjebak dalam berbagai skandal yang memalukannya dan mencemarkan imej negara. 

Pemimpin jenis ini tidak boleh bertahan lama kerana dia tidak punya keyakinan diri yang berteraskan ilmu dan didikan ugama yang kursani.Dia mudah dikhayal oleh kuasa dan takut hilang kuasa.


Semoga Allah kurniakan kita pemimpin yang sejiwa dan senada walau tak setanding Tun M...!

Lu Fikir La Sendiri!!!