Isnin, 31 Mac 2014

MH370: Kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan (31 Mac 2014)



Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang media mengenai pencarian Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) di sini hari ini:
Pengenalan
Sebelum saya memulakan taklimat hari ini, saya ingin mengulangi apa yang disebut Perdana Menteri Australia Tony Abbot pagi ini.
Kerjasama antarabangsa yang sedang dijalankan untuk menjejaki MH370 tidak kurang kehebatannya.
Tentera Malaysia, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, China, Jepun dan Korea berusaha menjejaki pesawat yang hilang.
Saya juga ingin menjelaskan bahawa Indonesia telah memberi kebenaran kepada  94 penerbangan pesawat dari sembilan negara – untuk terbang melintasi ruang udara Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha mencari.
Seperti disebut Perdana Menteri Australia, amat menggembirakan untuk menyaksikan pelbagai negara bekerjasama untuk satu misi kemanusiaan; untuk merungkai misteri luar biasa ini; dan merapatkan hubungan ahli keluarga mereka yang berada dalam pesawat.
Lawatan Perdana Menteri ke Perth
Pagi ini, Perdana Menteri berhubung dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbot. Perdana Menteri Abbot memberi taklimat mengenai perkembangan terkini status operasi mencari, yang berlepas dari Perth.
Perdana Menteri memutuskan untuk berlepas ke Perth pada Rabu untuk lawatan kerja ke pangkalan Tentera Udara Pearce untuk meninjau dari dekat dan juga untuk mengucapkan terima kasih kepada anggota yang terbabit dalam usaha pelbagai negara mencari pesawat, termasuk anggota dari Malaysia. 
Perkembangan terkini operasi
Tengah hari tadi, Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia memberi taklimat kepada saya mengenai penubuhan Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang baru berpusat di pangkalan Tentera Udara Pearce di Perth.
JACC akan diketuai oleh Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston, bekas Panglima Pasukan Pertahanan Australia.
JACC akan menyelaraskan operasi antara semua agensi kerajaan Australia dan pasukan mencari antarabangsa.
Berhubung maklumat yang kami terima daripada pihak berkuasa Australia, kawasan pencarian hari ini meliputi 254,000 kilometer persegi. 
Hari ini, sembilan pesawat tentera dan sebuah pesawat awam berlepas ke kawasan pencarian.
Pesawat-pesawat tersebut ialah:
- dua pesawat C-130 Malaysia.
- sebuah pesawat Ilyushin IL-76 China.
- sebuah pesawat G5 Pengawal Pantai Jepun.
- sebuah pesawat P3 Orion Australia.
- sebuah pesawat P3 Orion New Zealand.
- sebuah pesawat awam New Zealand.
- sebuah pesawat P8 Poseidon Amerika Syarikat.
- sebuah pesawat P3 Orion Jepun.
- sebuah pesawat P3 Orion Korea Selatan.
Hari ini, 11 kapal juga dikerah ke kawasan pencarian:
- Lapan kapal China: 
- Xue Long,
- Kunlunshan,
- Haikou,
- Qiandaohu Jian,
- Jing Gang Shan,
- Haixun,
- Dong Hai Jian
- Nan Hai Jian.
Tiga kapal Australia: 
- HMAS Success,
- HMAS Toowoomba
- dan MV Barkley Pearl, yang kini dalam persinggahan di kawasan pencarian.
Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Lekiu, dijangka tiba di kawasan pencarian pada 3 April.
Kapal ADV Ocean Shield – dipasang dengan alat pengesan isyarat “Towed Pinger Locator” dan “Bluefin 21 autonomous underwater vehicle” (kapal selam kecil tanpa pemandu) – dijangka tiba di kawasan pencarian pada 3 April.
Penemuan objek-objek berpotensi:
Pada Sabtu, lima objek dikutip oleh HMAS Success dan Haixun. Bagaimanapun, tiada satupun daripada objek-objek itu didapati berkaitan MH370.
Pada Ahad, pesawat P3 Orion Australia melaporkan mengenai penemuan secara visual tujuh objek berpotensi. Sebuah pesawat P3 Orion Korea juga melaporkan penemuan secara visual tiga objek berpotensi.
Kapal China, Haixun, ditugaskan pada Isnin untuk mengutip objek-objek berpotensi itu. 
Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN
Atas sifat saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, Saya akan berlepas malam ini ke Markas Pasifik Amerika Syarikat di Hawaii.
Saya akan menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN, yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 April.
Mesyuarat dipanggil oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel.
Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya akan berkongsi dengan rakan sejawatan dari ASEAN, dan kerajaan Amerika Syarikat, maklumat mengenai perkembangan terkini operasi pencarian MH370.
Saya akan menyampaikan kepada rakan-rakan ASEAN dan Amerika Syarikat, rasa penghargaan tertinggi Malaysia atas bantuan mereka yang tinggi nilainya dalam usaha mencari multi nasional.
Saya juga akan menggunakan kesempatan ini untuk membincangkan kemungkinan menggerakkan lebih banyak aset tentera jika kita perlu melancarkan operasi  meliputi fasa yang lebih sukar. Saya akan berbincang dengan Amerika Syarikat dan negara-negara sahabat dan sekutu, cara terbaik untuk memperoleh aset-aset yang diperlukan bagi kemungkinan melancarkan operasi mencari di laut dalam.
Pertemuan dengan Wakil Khas Indonesia
Hari ini, saya mengadakan pertemuan dengan Wakil Khas Indonesia dan Penasihat Khas kepada Menteri Luar, Puan Wiwiek Setyawati Firman, dan delegasinya.
Anggota delegasi termasuk Tuan Yang Terutama Herman Prayitno, Duta Indonesia di Malaysia.
Wakil Khas melahirkan penghargaan yang tulus ikhlas kepada Kerajaan Malaysia dan pasukan multi nasional yang menjalankan operasi pencarian.
Wakil Khas juga menegaskan bahawa Indonesia memahami sepenuhnya kerumitan dan betapa besarnya cabaran yang mendatang, dan mengulangi sokongan yang tidak goyah kepada Malaysia.
Ahli keluarga
Semalam, sekumpulan ahli keluarga, yang orang tersayang mereka berada dalam MH370, tiba di Kuala Lumpur dari Beijing.
Kerajaan dijangka mengadakan taklimat peringkat tertinggi tidak lama lagi bagi ahli keluarga ini untuk memberi maklumat mengenai perkembangan terkini berhubung pencarian MH370.
Taklimat termasuk pakar-pakar antarabangsa yang tidak dapat hadir semasa taklimat di Beijing termasuk pakar dari China. Ia juga akan disiarkan secara langsung kepada keluarga lain di Beijing. 
Pencarian MH370 terus kekal sebagai usaha besar-besaran yang sukar membabitkan banyak negara dan agensi antarabangsa
Kebanyakan penyelidikan yang diguna pakai untuk mengesan MH370 disalurkan kepada pasukan penyiasat Malaysia oleh rakan-rakan antarabangsa kita.
Penyelidikan ini amat rumit, membabitkan pasukan pakar-pakar tertinggi, kebanyakan mereka berpusat di negara-negara yang berlainan di seluruh dunia. 
Taklimat itu akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk mendengar dari dekat penjelasan pakar-pakar ini. Pakar-pakar berpeluang untuk menjelaskan mengenai penyelidikan, data dan metodologi yang memaklumkan operasi pencarian.
Kesimpulan
Kami faham bahawa bahawa sekarang adalah masa yang sukar bagi semua keluarga. Dan kami menghargai bahawa kebanyakan keluarga mahu melihat bukti fizikal sebelum menerima kenyataan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Kami mendapati diri kami berada dalam keadaan yang sukar. Saya ulangi: persoalan yang pada prinsipnya anggota keluarga mahukan jawapannya ialah persoalan yang kami tidak mempunyai jawapan — terutama di mana orang tersayang mereka berada, dan di mana MH370 berada.
Pada Sabtu, saya menemui ahli keluarga penumpang rakyat Malaysia dan warga China di Kuala Lumpur. Ia pertemuan paling sukar yang pernah saya hadiri.
Anggota keluarga berada dalam keadaan amat sedih. Bagi kebanyakan mereka, keadaan yang dilalui sejak beberapa minggu kebelakangan tidak tertanggung. Tetapi satu mesej yang disampaikan kepada saya berulang kali ialah mereka tidak berputus harap.
Dan saya berjanji kepada ahli keluarga bahawa Malaysia, yang bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa, tidak akan putus harapan. Kami akan meneruskan usaha kami untuk mencari MH370.
Ini adalah janji bahawa Malaysia berazam untuk memenuhinya. Kami akan meneruskan pencarian dan kami akan meneruskan penyiasatan, dan kami tidak akan berputus asa sehingga kami mengetahui apa yang berlaku kepada MH370. – Bernama

Tiada ulasan: