Ahad, 30 Mac 2014

Suhakam: Cari alternatif hukuman rotan, pinda akta kanak-kanak

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan agar mengkaji semula Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan hukuman rotan ke atas kanak-kanak di Malaysia.
Suhakam berasa bimbang terhadap amalan hukuman rotan ke atas kanak-kanak terutamanya di sekolah, rumah dan sebatan ke atas juvana oleh badan kehakiman.
"Memandangkan keputusan mahkamah membawa kepada pemisahan sementara di antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka (Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal), Suhakam berharap agar kepentingan kanak-kanak tersebut diberi perhatian yang sewajarnya," kata Suhakam dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider petang ini.
"Disebabkan keburukan dari segi fizikal dan emosi terhadap amalan seperti itu ke atas kanak-kanak, Suhakam menyeru semua pihak berkepentingan menerima pakai pendekatan yang lebih sensitif dalam mendisiplinkan kanak-kanak.‎"
Mahkamah Daerah Solna, Sweden pada Ahad mendapati Azizul dan Shalwati bersalah kerana melakukan penderaan ke atas anaknya.
Shalwati dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan manakala Azizul dipenjarakan selama 10 bulan.
Menurut peguam Shalwati, Kristopher Stahre, anak guamnya didapati bersalah kerana memukul kempat-empat anaknya berulang kali.
Suhakam berkata kerajaan perlu mencari alternatif selain hukuman rotan supaya mampu memberi lebih kesedaran kepada golongan belia.
Katanya, antara hukuman yang boleh dipertimbangkan adalah aktiviti khidmat masyarakat yang boleh digunakan untuk memulihkan belia.
"Sebagai negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu, penting bagi kerajaan mengambil segala langkah perundangan dan pentadbiran sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan oleh ibu bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab menjaga mereka," tambah Suhakam. – 30 Mac, 2014.

 

Tiada ulasan: