Selasa, 10 Mac 2015

Ketidakseimbangan Gaji Pekerja Sektor Awam Dan Swasta.

Dah lama aku nak tulis isu ini semenjak aku kerja makan gaji dulu. Apa yang aku perhatikan jurang gaji antara pekerja sektor awam dan sektor swasta pada masa ini semakin membesar.
Mengikut laman web SPA, gaji bagi pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM bagi Jawatan Pembantu Tadbir adalah RM928.00 sebulan. Gaji ini masih belum dicampur dengan elaun-elaun yang lain seperti elaun perkhidmatan awam, elaun perumahan dan elaun sara hidup. Kalau dicampur entah berapa banyak jumlahnya, memang untung pekerja yang bekerja di sektor awam ini.
Bagaimana pula dengan gaji pekerja sektor swasta? Pada masa ini kerajaan baru menguatkuasakan gaji minimum RM900 sebulan bagi pekerja sektor swasta. Pastinya dengan gaji sebanyak itu ia masih belum memadai jika nak dibandingkan dengan gaji dan elaun yang diterima oleh pekerja sektor awam.
Sebenarnya aku tak kisah lansung jika kerajaan nak menaikan gaji pekerja sektor awam tetapi biarlah seiring dengan gaji pekerja sektor swasta juga. Ini barulah adil namanya.
Aku agak hairan siapakah panel yang membuat semakan tentang kenaikan gaji bagi pekerja sektor awam. Mereka ini seolah-olah hanya melihat pada gaji pokok sedangkan pekerja sektor awam mempunyai elaun-elaun yang lain juga. Kalau nak dibandingkan, gaji dan elaun yang diterima pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM, ia adalah setara dengan gaji yang diterima pekerja sektor swasta yang berkelulusan Diploma. Cuba bandingkan jurang antara keduanya?
Bila berbicara tentang pekerja sektor awam, elaun-elaun yang mereka terima seolah-olah tak ada atau tak nampak. Pada pendapat aku, elaun-elaun yang ada harus digabungkan menjadi satu dan elaun ini mesti digenapkan jumlahnya supaya kita nampak gaji sebenar yang diterima pekerja sektor awam. Dengan ini barulah kita nampak perbezaan sebenar gaji yang diterima pekerja sektor awam dan juga swasta.
Seingat aku semasa aku masih bekerja makan gaji beberapa tahun yang lalu, gaji pokok pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM telah naik menjadi RM800 lebih dan sekarang telah menjadi RM900 lebih. Cuba lihat pula gaji pekerja sektor swasta, kerajaan baru tahun lepas (kalau tak salah) menguatkuasakan gaji minimum RM900 dan jumlah itu lansung tak memadai jika nak dibandingkan dengan apa yang diterima pekerja sektor awam. Adakah kerajaan ingin menganaktirikan pekerja sektor swasta?
Selepas ini aku amat berharap supaya kerajaan membekukan sebarang semakan kenaikan gaji pekerja sektor awam sebelum kerajaan menaikkan dulu gaji pekerja sektor swasta supaya jurang antara keduanya tidak jauh berbeza. Pada pandanganku, jika mengambil kira gaji keseluruhan yang diterima pekerja sektor awam pada masa ini, maka sepatutnya gaji minimum untuk sektor swasta adalah RM1,200 sebulan. Setelah kedua-dua gaji pekerja awam dan swasta menjadi lebih kurang sama, maka bagi setiap kenaikan gaji pekerja sektor awam selepas ini, ia haruslah seiring dengan kenaikan gaji pekerja sektor swasta juga. Barulah adil namanya.
p/s: Bila berbicara tentang isu ini, ada pekerja sektor awam yang agak emosional. Hairan sungguh aku? Aku bukan tak bersetuju dengan kenaikan gaji yang diterima pekerja sektor awam, aku hanya meminta kenaikan itu biarlah seiring dengan gaji pekerja sektor swasta juga. Ini barulah adil namanya. Kita hidup jangan hanya pentingkan diri dengan melihat diri kita sahaja, sedangkan hidup orang lain bagaimana?
p/p/s: Bila berbicara tentang isu ini, ada pekerja sektor awam mengatakan pekerja swasta ada kelebihan-kelebihan yang lain seperti bonus lebih sebulan gaji dan sebagainya. Pengalaman aku sendiri ketika bekerja di tiga syarikat swasta, bonus tahunan yang aku terima tak lebih daripada sebulan gaji dan aku pernah terima bonus tahunan dengan setengah bulan gaji. Pula tu, kenaikan gaji tahunan adalah tak lebih daripada 5% . Kebanyakan syarikat-syarikat swasta nie, kalau boleh mereka nak bagi gaji serendah-rendahnya kepada para pekerja.

Bukan Mencari Salah Orang!

Bagi mereka yang pernah membaca artikel di blog ini, mungkin ada yang beranggapan apa yang aku kongsikan disini seolah-olah aku hendak mencari salah orang sedangkan aku hanya ingin berkongsi pengalamanku supaya orang lain boleh mengambil iktibar dan menjadikan ia sebagai sempadan.
Bila sesuatu artikel aku tulis, ia adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri, melalui pemerhatian dengan melihat kehidupan orang lain, melalui pembacaan dan sebagainya. Dalam kebanyakan artikel yang aku tulis, ia tak ditujukan secara khusus kepada sesiapa atau sikap buruk individu tertentu tetapi aku gabungkan secara umum mengikut tajuk artikel. Andai dalam sesuatu artikel aku menyebut nama seseorang (biasanya memang jarang) atau aku maksudkan seseorang, ia hanyalah bertujuan untuk orang lain mendapat iktibar. Lagipun nama orang yang aku sebut atau aku maksudkan itu, hanya aku sahaja yang tahu siapakah dia. Jadi, ia tidak memberi aib kepadanya. Lainlah kalau aku sebut namanya semua orang kenal.
Dalam sesuatu artikel yang aku tulis, aku bukan mencari salah orang tetapi aku hanya menceritakan realiti sebenar tentang sikap sesetengah orang. Bagi yang terkena batang hidung sendiri mungkin akan menyebabkan mereka berasa malu dan seterusnya berubah. Bagi mereka yang tak terkena batang hidung sendiri, ia boleh mengingati diri mereka supaya tak melakukan kesilapan yang sama.
Walaupun kata-kata yang aku tulis dalam sesuatu artikel nampak agak keras, hakikatnya aku hanya berniat untuk menegur dengan tujuan yang baik. Kalau aku bercakap dalam bahasa yang lembut kadang-kadang ia tak begitu memberi kesan kepada orang untuk berasa terkesan. Adakalanya aku menggunakan kata-kata yang keras, adakalanya aku menggunakan kata-kata yang lembut. Ikut situasilah.
Teguran aku dalam sesuatu artikel bukan bermaksud akulah yang terbaik. Aku juga seperti insan biasa yang sering melakukan kesilapan demi kesilapan dan sedang belajarsupaya aku tak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Dalam proses pembelajaran, aku sering melihat kehidupan orang lain kerana banyak yang kita boleh belajar melalui kehidupan orang lain. Kalau berdasarkan pengalaman kita sendiri apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan pengalaman ramai orang. Kata Ustaz, “kalau kita mencari dunia, kita kena tengok orang yang lebih bawah daripada kita dan kalau kita mencari akhirat, kita kena tengok orang yang lebih atas daripada kita”. Bagi aku sendiri, samaada kita mencari dunia atau akhirat, kita kena tengok kedua-duanya sekali iaitu orang yang lebih atas dan orang yang lebih bawah daripada kita. Mengapa aku cakap begitu, korang kena fikirkan sendiri, tentu korang akan menemui jawapannya.
Oklah tu, banyak pula aku melalut. Semoga perkongsian aku di blog ini dapat memberi manfaat dan iktibar kepada mereka yang membacanya. Jika ada salah dan silap, harap dimaafkan. Yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk datangnya daripada kelemahan aku sendiri.
p/s: Perasan tak, bagaimana cara Ustaz dan Ustazah berceramah di tv atau diluar sana. Mereka akan menggunakan sikap atau akhlak buruk sesetengah orang untuk memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk ceramah mereka. Adakah pendekatan mereka ini dianggap sebagai mencari salah orang sedangkan mereka hanya menceritakan sikap sebenar sesetengah orang secara umum untuk memberi teguran dan nasihat. Kalau cara ini dianggap sebagai mencari salah orang, maka tiada sesiapa pun yang dapat memberi nasihat dan teguran lagi.
p/p/s: Teguran aku dalam artikel yang aku tulis bukan hanya ditujukan untuk orang lain tetapi ia juga ditujukan kepada diri aku sendiri. Tak bermakna kalau kita asyik tegur orang lain sedangkan diri kita apa kurangnya. Sebagai insan bernama manusia memang lumrah kita sering melakukan kesilapan demi kesilapan. Untuk itu kita harus cepat sedar tentang kesilapan kita dan berusaha untuk membaikinya.

Fasa-Fasa Untuk Berubah!

Dalam hidup ini kita mempunyai beberapa fasa-fasa untuk berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik.
Ada orang mula berubah ketika diaberkahwin, ada orang mula berubah ketika dia di pertengahan usia iaitu 40 tahun dan ada orang pula mula berubah ketika dia bersara daripada pekerjaannya iaitu pada usia 60 tahun. Kebanyakan daripada kita suka memilih untuk berubah ketika bersara daripada pekerjaan sedangkan kita belum tentu akan hidup sehingga ke usia itu. Andai kita dapat hidup sehingga ke usia itu pun, belum tentu kita boleh berubah lebih-lebih kepada mereka yang sudah biasa menjalani kehidupan yang tak memikirkan tentang kehidupan akhirat. Bukan senang untuk mendidik hati yang lebih mementingkan dunia daripada akhirat.
Bila kita telah mencapai usia 40 tahun, kita harus lebih berhati-hati kerana di usia itu kita telah mencapai tempoh kematangan. Kalau di usia ini pun kita masih juga sibuk dengan urusan dunia tanpa memikirkan akhirat, maka untuk kita berubah selepas itu akan menjadi lebih sukar. Bila kita mencapai usia 40 tahun sepatutnya kita mengurangkan kehidupan dunia dan kita melebihkan kepada kehidupan akhirat. Mereka yang berusia 40 tahun umpama hidup pada waktu asar iaitu satu waktu yang begitu singkat sebelum masuknya waktu maghrib atau matahari terbenam. Pada usia ini kita sudah tak boleh main-main atau ambil mudah tentang soal agama lagi. Kalau kita masih buat begitu berhati-hatilah kerana mati itu boleh datang pada bila-bila masa sahaja, tak kira muda atau tua. Bila dia datang, tak akan ada jalan patah balik lagi, menyesal pun tiada guna.
Kita harus ingat hidup di dunia ini terlalu singkat dan kita tak tahu bila kita akan mati (kalau kita tahu, senang untuk kita buat persediaan). Kalau kita berharap ketika umur 40 tahun baru nak berubah, ketika umur 60 tahun baru nak berubah, takut-takut kita tak sempat sampai ke umur itu. Semua orang kalau ditanya samaada mereka nak berumur panjang atau tak? Tentu mereka menjawab Ya. Siapa yang tak nak berumur panjang, semua orang nak tetapi adakah semua orang dapat? Kalau semua orang dapat, tiadalah orang muda yang mati kat dunia ini. Kalau macam tulah senanglah hidup kita, masa muda kita boleh enjoy puas-puas dan ketika tua barulah kita bertaubat, barulah kita berubah. Kalau macam nielah, memang senang sungguh hidup.
Untuk berubah tak perlulah tunggu hari esok kerana hari esok belum tentu akan ada untuk kita. Mati dia tak menunggu samaada kita sudah bersedia atau tak. Kalau dia datang, datanglah tiada apa yang dapat menghalangnya. Untuk itu lebih baik kita sediakan payung sebelum hujan daripada sediakan payung ketika hujan telah membasahi diri kita. Buat apa, dah terlambat. Fikir-fikir dan renung-renungkanlah.

Khamis, 5 Mac 2015

Sifat dan Sikap Manusia

Memang ini sifat kita sebagai manusia...sebagai sesama insan, haruslah bersabar..


Manusia ini mudah lupa..ini sifat dan sikap yg ada dlm diri kita..tak kira ape pengorbanan yg telah dilakukan sebelum ini, ianya bole dilupakan dalam sekelip mata disebabkan akal kita yg terlalu daif…

Bila dalam kesusahan, kita dicari dan diperlukan..namun, ketika dalam kesenangan, kita diketepikan dan dilupakan...ada kesilapan juga kelemahan malah juga kebenaran yang tidak mampu dirungkai dek akal yang terlalu naif..


Malah ada juga manusia, akan cuba mengambil kesempatan atas kelemahan insan yang lain..antaranya bila soal pinjam meminjam...keadaan ini lumrah berlaku pada semua...biasanya situasi terjadi seperti ;


Sifat biasa manusia bila ingin meminjam ;

- Berkata-kata manis 
- Berbuat baik
- Meraih simpati



Sifat biasa manusia apabila sudah dapat meminjam ;

- Berjanji bak bulan dan bintang
- Senyum penuh kesyukuran
- Berterima kasih berjuta kali


Sifat biasa manusia apabila sudah meminjam ;

- SMS tiada balas walhal nombor aktif
- Whatapp tiada balas walhal sentiasa aktif


Sampaikan org yg memberi pinjam pulak yang jadi segan. Terbalik dan pelik.
Takkan nak post kat FB, nanti dikatakan menjatuhkan maruah pula.


p/s : Kisah realiti yang berlaku kepada semua org yg memberi pinjam. Setuju ?



Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" 

~~ Riwayat Al-Bukhari, 2/83


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :

Ya Allah, aku berlindung kepada MU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" 

~~ Riwayat Al-Bukhari, 1/214




Semoga Allah rahmati kita semua..

Michelle Yeoh Bakal Kahwini Jean Todt


Bintang filem antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh mendedahkan mungkin akan berkahwin dengan kekasihnya, Jean Todt, lapor akhbar China, Want Daily.
Yeoh yang menjalin hubungan cinta bersama Presiden Federation Internationale de l’Automobile (FIA) mendedahkan perkara itu ketika menghadiri pertunjukan fesyen Roberto Cavalli 2015 Fall/Winter di Milan bersama Todt.
Bagaimanapun Yeoh berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dipersiapkan namun beliau mengakui majlis itu hanya akan dihadiri oleh saudara mara serta rakan rapat sahaja.
Pelakon yang berasal dari Malaysia itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan jutawan Hong Kong, Dickson Poon pada 1988.
Yeoh juga pernah membintangi sebuah biopic The Lady- Aung San Suu Kyi dimana Todt bertindak sebagai penerbitnya.
Antara filem lakonannya yang popular adalah Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Tomorrow Never Dies malah beliau juga dilaporkan akan menjayakan sekuel kepada Crouching Tiger, Hidden Dragon di China akhir tahun ini.-RP