Dah lama aku nak tulis isu ini semenjak aku kerja makan gaji dulu. Apa yang aku perhatikan jurang gaji antara pekerja sektor awam dan sektor swasta pada masa ini semakin membesar.
Mengikut laman web SPA, gaji bagi pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM bagi Jawatan Pembantu Tadbir adalah RM928.00 sebulan. Gaji ini masih belum dicampur dengan elaun-elaun yang lain seperti elaun perkhidmatan awam, elaun perumahan dan elaun sara hidup. Kalau dicampur entah berapa banyak jumlahnya, memang untung pekerja yang bekerja di sektor awam ini.
Bagaimana pula dengan gaji pekerja sektor swasta? Pada masa ini kerajaan baru menguatkuasakan gaji minimum RM900 sebulan bagi pekerja sektor swasta. Pastinya dengan gaji sebanyak itu ia masih belum memadai jika nak dibandingkan dengan gaji dan elaun yang diterima oleh pekerja sektor awam.
Sebenarnya aku tak kisah lansung jika kerajaan nak menaikan gaji pekerja sektor awam tetapi biarlah seiring dengan gaji pekerja sektor swasta juga. Ini barulah adil namanya.
Aku agak hairan siapakah panel yang membuat semakan tentang kenaikan gaji bagi pekerja sektor awam. Mereka ini seolah-olah hanya melihat pada gaji pokok sedangkan pekerja sektor awam mempunyai elaun-elaun yang lain juga. Kalau nak dibandingkan, gaji dan elaun yang diterima pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM, ia adalah setara dengan gaji yang diterima pekerja sektor swasta yang berkelulusan Diploma. Cuba bandingkan jurang antara keduanya?
Bila berbicara tentang pekerja sektor awam, elaun-elaun yang mereka terima seolah-olah tak ada atau tak nampak. Pada pendapat aku, elaun-elaun yang ada harus digabungkan menjadi satu dan elaun ini mesti digenapkan jumlahnya supaya kita nampak gaji sebenar yang diterima pekerja sektor awam. Dengan ini barulah kita nampak perbezaan sebenar gaji yang diterima pekerja sektor awam dan juga swasta.
Seingat aku semasa aku masih bekerja makan gaji beberapa tahun yang lalu, gaji pokok pekerja sektor awam yang berkelulusan SPM telah naik menjadi RM800 lebih dan sekarang telah menjadi RM900 lebih. Cuba lihat pula gaji pekerja sektor swasta, kerajaan baru tahun lepas (kalau tak salah) menguatkuasakan gaji minimum RM900 dan jumlah itu lansung tak memadai jika nak dibandingkan dengan apa yang diterima pekerja sektor awam. Adakah kerajaan ingin menganaktirikan pekerja sektor swasta?
Selepas ini aku amat berharap supaya kerajaan membekukan sebarang semakan kenaikan gaji pekerja sektor awam sebelum kerajaan menaikkan dulu gaji pekerja sektor swasta supaya jurang antara keduanya tidak jauh berbeza. Pada pandanganku, jika mengambil kira gaji keseluruhan yang diterima pekerja sektor awam pada masa ini, maka sepatutnya gaji minimum untuk sektor swasta adalah RM1,200 sebulan. Setelah kedua-dua gaji pekerja awam dan swasta menjadi lebih kurang sama, maka bagi setiap kenaikan gaji pekerja sektor awam selepas ini, ia haruslah seiring dengan kenaikan gaji pekerja sektor swasta juga. Barulah adil namanya.
p/s: Bila berbicara tentang isu ini, ada pekerja sektor awam yang agak emosional. Hairan sungguh aku? Aku bukan tak bersetuju dengan kenaikan gaji yang diterima pekerja sektor awam, aku hanya meminta kenaikan itu biarlah seiring dengan gaji pekerja sektor swasta juga. Ini barulah adil namanya. Kita hidup jangan hanya pentingkan diri dengan melihat diri kita sahaja, sedangkan hidup orang lain bagaimana?
p/p/s: Bila berbicara tentang isu ini, ada pekerja sektor awam mengatakan pekerja swasta ada kelebihan-kelebihan yang lain seperti bonus lebih sebulan gaji dan sebagainya. Pengalaman aku sendiri ketika bekerja di tiga syarikat swasta, bonus tahunan yang aku terima tak lebih daripada sebulan gaji dan aku pernah terima bonus tahunan dengan setengah bulan gaji. Pula tu, kenaikan gaji tahunan adalah tak lebih daripada 5% . Kebanyakan syarikat-syarikat swasta nie, kalau boleh mereka nak bagi gaji serendah-rendahnya kepada para pekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan