Bagi mereka yang pernah membaca artikel di blog ini, mungkin ada yang beranggapan apa yang aku kongsikan disini seolah-olah aku hendak mencari salah orang sedangkan aku hanya ingin berkongsi pengalamanku supaya orang lain boleh mengambil iktibar dan menjadikan ia sebagai sempadan.
Bila sesuatu artikel aku tulis, ia adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri, melalui pemerhatian dengan melihat kehidupan orang lain, melalui pembacaan dan sebagainya. Dalam kebanyakan artikel yang aku tulis, ia tak ditujukan secara khusus kepada sesiapa atau sikap buruk individu tertentu tetapi aku gabungkan secara umum mengikut tajuk artikel. Andai dalam sesuatu artikel aku menyebut nama seseorang (biasanya memang jarang) atau aku maksudkan seseorang, ia hanyalah bertujuan untuk orang lain mendapat iktibar. Lagipun nama orang yang aku sebut atau aku maksudkan itu, hanya aku sahaja yang tahu siapakah dia. Jadi, ia tidak memberi aib kepadanya. Lainlah kalau aku sebut namanya semua orang kenal.
Dalam sesuatu artikel yang aku tulis, aku bukan mencari salah orang tetapi aku hanya menceritakan realiti sebenar tentang sikap sesetengah orang. Bagi yang terkena batang hidung sendiri mungkin akan menyebabkan mereka berasa malu dan seterusnya berubah. Bagi mereka yang tak terkena batang hidung sendiri, ia boleh mengingati diri mereka supaya tak melakukan kesilapan yang sama.
Walaupun kata-kata yang aku tulis dalam sesuatu artikel nampak agak keras, hakikatnya aku hanya berniat untuk menegur dengan tujuan yang baik. Kalau aku bercakap dalam bahasa yang lembut kadang-kadang ia tak begitu memberi kesan kepada orang untuk berasa terkesan. Adakalanya aku menggunakan kata-kata yang keras, adakalanya aku menggunakan kata-kata yang lembut. Ikut situasilah.
Teguran aku dalam sesuatu artikel bukan bermaksud akulah yang terbaik. Aku juga seperti insan biasa yang sering melakukan kesilapan demi kesilapan dan sedang belajarsupaya aku tak melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Dalam proses pembelajaran, aku sering melihat kehidupan orang lain kerana banyak yang kita boleh belajar melalui kehidupan orang lain. Kalau berdasarkan pengalaman kita sendiri apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan pengalaman ramai orang. Kata Ustaz, “kalau kita mencari dunia, kita kena tengok orang yang lebih bawah daripada kita dan kalau kita mencari akhirat, kita kena tengok orang yang lebih atas daripada kita”. Bagi aku sendiri, samaada kita mencari dunia atau akhirat, kita kena tengok kedua-duanya sekali iaitu orang yang lebih atas dan orang yang lebih bawah daripada kita. Mengapa aku cakap begitu, korang kena fikirkan sendiri, tentu korang akan menemui jawapannya.
Oklah tu, banyak pula aku melalut. Semoga perkongsian aku di blog ini dapat memberi manfaat dan iktibar kepada mereka yang membacanya. Jika ada salah dan silap, harap dimaafkan. Yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk datangnya daripada kelemahan aku sendiri.
p/s: Perasan tak, bagaimana cara Ustaz dan Ustazah berceramah di tv atau diluar sana. Mereka akan menggunakan sikap atau akhlak buruk sesetengah orang untuk memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk ceramah mereka. Adakah pendekatan mereka ini dianggap sebagai mencari salah orang sedangkan mereka hanya menceritakan sikap sebenar sesetengah orang secara umum untuk memberi teguran dan nasihat. Kalau cara ini dianggap sebagai mencari salah orang, maka tiada sesiapa pun yang dapat memberi nasihat dan teguran lagi.
p/p/s: Teguran aku dalam artikel yang aku tulis bukan hanya ditujukan untuk orang lain tetapi ia juga ditujukan kepada diri aku sendiri. Tak bermakna kalau kita asyik tegur orang lain sedangkan diri kita apa kurangnya. Sebagai insan bernama manusia memang lumrah kita sering melakukan kesilapan demi kesilapan. Untuk itu kita harus cepat sedar tentang kesilapan kita dan berusaha untuk membaikinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan