Isnin, 28 April 2014

Imam masjid negara rayu Obama hentikan penindasan umat Islam


obama lawat masjid negara
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama (kiri) beramah mesra dengan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad ketika melawat Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini, sempena lawatan ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad merayu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama supaya menghentikan penindasan terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia.
Beliau mengambil peluang untuk menyuarakan hasratnya kepada Obama semasa mengiringi Presiden Amerika Syarikat itu dalam lawatan ke Masjid Negara dan Makam Pahlawan di Jalan Perdana di sini pagi ini.
Obama dalam jawapannya kepada permintaan itu berkata “doakan saya,” kata Ismail kepada pemberita selepas lawatan Obama ke kedua-dua monumen terkenal itu di sini.
Beliau berkata, Obama juga berkata bahawa setiap hari apabila bangun dari tidur, beliau sentiasa berusaha untuk menghentikan penindasan dan konflik membabitkan masyarakat.
Obama - Foto AP
Ismail, 70, juga melahirkan keterujaannya tentang pertemuan bersejarah dengan Obama, iaitu yang kedua bagi beliau dengan seorang presiden Amerika Syarikat yang memegang tampuk kuasa.
Pertemuan pertama ialah dengan Presiden Lyndon B.Johnson pada 1966, kira-kira 48 tahun lalu apabila beliau baru berusia 22 tahun dan menjadi pelajar tahfiz.
“Saya tidak menyangka bahawa saya akan menemui seorang lagi Presiden Amerika Syarikat dalam hidup saya selepas hampir 50 tahun,” kata beliau.
Ismail juga kagum dengan kebolehan Obama untuk memahami bahasa Malaysia apabila beliau kadang-kadang bertutur dalam bahasa itu dengan Presiden Amerika Syarikat.
Di sebalik perbendaharaan kata yang terbatas, Obama kerap kali menjawab “Insya-Allah” dan “Terima Kasih,” katanya.
“Memang baik baginya walaupun beliau tidak boleh banyak bertutur dalam bahasa Malaysia tetapi beliau memahami apa saya memberitahu kepada beliau,” kata Ismail sambil tersenyum.
Lawatan Obama ke Masjid Negara merupakan aturcara pertama pada hari kedua lawatannya ke Malaysia dan lawatan ke masjid berkenaan menandakan penerimaan beliau kepada amalan kesederhanaan dalam Islam di negara ini yang majoriti penduduknya yang berjumlah 30 juta beragama Islam.
Obama, yang tiba semalam untuk lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia, diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Pengiring dan Duta Khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Kerjasama Islam, Rashad Hussain.
Selepas lawatan Obama, Ismail mengadakan pertemuan singkat dengan Rashad yang menyentuh tentang perbankan Islam, program pembangunan usahawan Muslim dan hab halal.
Ismail berkata Rashad melahirkan rasa kagum Amerika Syarikat terhadap sistem perbankan Islam yang dilaksanakan di negara ini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
“Dan dari segi undang-undang, tidak kira anda orang kecil atau orang besar, kita mempunyai hak samarata untuk mendapatkan keadilan dan saya fikir anda juga berpegang dengan prinsip ini,” kata Najib.
“Percayalah bahawa Malaysia komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan kebebasan sivil,” tegasnya.
Sementara itu, Obama berkata isu seperti hak asasi manusia, kebebasan sivil dan kebebasan akhbar tidak pernah tersisih daripada agenda dalam pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin lain dunia dan begitu juga dalam pertemuannya dengan Najib.
Presiden berkata pandangan kononnya Malaysia tidak berbuat secukupnya untuk menangani kebimbangan itu mungkin tidak sepenuhya mencerminkan pembaharuan yang telah dibuat oleh Najib.
Obama menegaskan bahawa beliau tidak akan bertemu dengan Anwar pada lawatan ini juga dengan sendirinya bukan membayangkan kurang prihatin terhadap isu seumpama itu, tetapi atas hakikat bahawa “banyak orang yang saya tidak temui dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang saya tidak temui”.

Ahad, 27 April 2014

Tetapi terdapat banyak kes curi yang digugur hukuman hudud ke atasnya

Jika anda pencuri jangan takut, bukan semua pencuri dihukum hudud – Dr Tanaka Mustafa



HUKUM HUDUD
Oleh:
1) Umumnya hukuman hudud untuk pencuri adalah potong tangan. Itu hukum wajib yang termaktub dalam al-quran. Namun teknikal perlaksanaannya adalah berdasarkan ijtihad rasul dan para sahabat – pada zaman tersebut.
2) Masyhur kisah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, khalifah kedua umat Islam, pencuri tidak dihukum potong tangan dek kerana mencuri di waktu kemarau panjang, kerana kesuntukan sumber makanan dan derita kelaparan menular.
3) Kisah ini bukan bererti Khalifah Umar menghentikan perlaksanaan hukum hudud. Hanya hudud bagi kes curi sahaja ditangguh. Fenomena kemarau panjang dan kelaparan, tidak sekali-kali boleh menjadi sebab untuk mengangguh hudud terhadap kes zina/liwat, qazaf dan seumpamanya.hudud malaysia
4) Hari ini apabila disebut hudud, orang Islam sendiri memomokkan hudud itu adalah potong tangan. Orang bukan Islam tidak nampak hudud melainkan potong tangan. Malah ada orang Islam yg menyindir hukum hudud “lama-lama habis tangan orang Islam”.
5) Jahil dah bodoh lah sesiapa yang faham sedemikian, sekali pun kamu seorang doktor, peguam, ustaz, menteri, pemikir, dan sebagainya.
6) Hudud adalah untuk menjaga keselamatan manusia, serta melindungi mansia daripada kejahatan manusia lain. Pencuri adalah manusia. Mengsa curi juga adalah manusia. Maka hudud meindungi kedua-duanya.
7) Hudud potong tangan pencuri bukanlah sesuatu hukuman yang mudah. Ia melibatkan kecacatan kekal kepada sesiapa pun yang dipotong tangannya. Maka sudah tentu tidak mudah seorang hakim itu untuk menjatuhkan hukum potong tangan kepada pencuri.
8 ) Pencuri yang mencuri sesuatu yang tidak mencapai had hdud, tidak dikenakan hudud. Mencuri akibat kemiskinan-kelaparan, tidak dikenakan potong tangan. Mencuri akibat dipaksa, tidak dipotong tangan. mencuri sesuatu yang tidak disimpan dengan baik, tidak dikenakan potong tangan. Curi RM2 tidak dipotong tangannya. Tidak dikenakan hudud bukan bermakna terlepas hukuman. Mereka tertakluk kepada hukum takzir, yakni hukum yg ditetapkan pemerintah, yg tidak boleh sama atau lebih daripada hukum hudud.
9) Sindiket curi kereta adalah contoh kesalahan yg boleh dikenakan hukum potong tangan. Sudah tentu ia melebihi had hudud. Sudah tentu tidak relevan dgn alasan kemarau panjang, kepalaran dan sebagainya. Bos sindiket mesti dipotong tangan jika didapati bersalah. Pekerja lain bergantung kepada pengadilan – sukarela atau dipaksa.
10) Anda baru membeli sebuah kereta, Honda Civic. Anda bukan seorang yg bergaji besar seperti menteri. Honda civic itu dikira sebagai kereta yg termampu sahaja untuk keselesaan keluarga anda. Bayangkan kereta baru anda dicuri ketika anda sedang membeli-belah di Tesco. Anda yakin sudah berkunci dan semua ciri keselamatan sudah dipasang. Apa perasaan anda? Sudah tentu anda marah, sedih, geram. Lebih dahsyat, sebaik sahaja polis siasat polis menjupai kereta anda, kereta anda sudah didapati tersadai dengan beberapa komponen sudah tiada – dicuri.
11) Jika pencuri itu ada didepan anda, apa yg akan anda lakukan? belasah? terajang? cincang?! Saya yakin 80% mangsa pasti saat geramnya itu membayangkan mahu membelasah dan mencincang si pencuri. What the ^@%#!* curi kereta mahu dihukum cincang? Itulah emosi manusia, geram nya begitu sekali. Hudud melindungi pencuri daripada dibunuh.
12) Lihat sahaja kes ragut yg peragutnya sempat ditangkap oleh orang ramai. Berapa banyak kes public court atau public justice yg orang ramai ‘hadiahkan’ kepada pencuri/peragut? Hatta ada pencuri yang mati atau mengalami kecacatan kekal akibat dibelasah orang ramai – walaupun hanya mencuri/meragut beg tangan yg hanya berisi RM500.
13) Maka tindakan public justice itu sangat tidak adil kepada pencuri. Hukuman mati ke atas pencuri RM500?? What the @#&#%&! Maka hukum hudud mampu menyelamatkan si pencuri daripada dibunuh. Dia diadili dan jika didapati bersalah yg tidak gugur hududnya, maka dia dipotong tangan. Si mangsa pun akan berpuas hati, si pencuri pula terselamat nyawanya.
13) Jadi kenapa anda takut dengan hudud? Adakah anda pencuri? Atau ada dalam kalangan ahli keluarga anda menajdi pencuri? Jika tiada, kenapa perlu takut untuk sokong perlaksanaan hudud?
14) Jika anda terpengaruh dengan hudud Saudi dan hudud Taliban, kedua-duanya tidak mencerminkan perlaksanaan hudud yg sebenar seperti yg Islam ajarkan. Hudud yang mahu dilaksanakan mestilah dikaji dalam semua aspek teknikal dan ijtihadnya supaya ia tidak terfitnah dan memfitnah.
15) Apabila hudud dilaksana, mestilah bukan hanya rakyat bawahan yg bersalah sahaja diknakan hukuman, malah menteri hatta raja sekalipun tidak akan terlepas daripada dipotong tangan jika mencuri.
Sekian

Sedih Baca Status Terakhir Allahyarhamah Adzlin Lin Halimi, Kubur Bercahaya

Sedih Baca Status Terakhir Allahyarhamah Adzlin Lin Halimi, Kubur Bercahaya



Allahyarhamah Adzlin Lin Halimi atau Haslinatul Adzlin Abdullah Halimi, merupakan ibu tunggal kepada 2 orang anaknya iaitu Aina Sofiya dan Amsyar Zarif yang masih kecil.
haslin adzlin
Allahyarhamah dari Ipoh, Perak meninggal di Hospital KL pada 20 April 2014 jam 8.52 am (Ahad) kerana menghidap Breast Cancer dan merebak ke tulang sum-sum serta hatinya.
adzlin lin halimi
Dan ini ialah status terakhir yang dimuat naik dari facebook miliknya 4 hari sebelum kematiannya.
adzlin lin halimi kubur bercahaya
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau serta ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang beramal soleh, Amin.
Sedekahkan lah al-Fatihah.
Wallahu’alam.


Jumaat, 25 April 2014

UMAT AKHIR ZAMAN CABAR KUASA ILAHI

Dunia semakin hari semakin tua meniti usia penghujungnya. Namun, semakin tua usia dunia ini, semakin banyak kerosakan dilakukan manusia sebagai penghuninya.

Kerosakan dilakukan termasuk yang zahir dan tersembunyi.


Zahir boleh dilihat jelas melalui mata kasar adalah pembinasaan khazanah bumi seperti hutan dan gunung- ganang yang ditarah untuk merealisasikan impian dunia moden dengan mendirikan pelbagai bangunan di atasnya.

Jika bumi itu boleh disifatkan dengan jasad manusia, tentu kita dapat melihat satu bentuk tubuh yang mengalami kecacatan di sana sini.

Mungkin bumi pada hari ini umpama manusia yang tidak mempunyai tangan dan kaki yang lengkap.

Namun yang lebih ‘menyakitkan’ bumi pada pandangan saya ialah kebinasaan disebabkan kemungkaran dilakukan manusia di atasnya.

Semakin kita dekat dengan hari kiamat, semakin berani pula manusia mencabar Allah dengan pelbagai maksiat dilakukan.

Jika bumi ini dapat berbicara, tentu sekali dia akan merintih atau merayu kepada manusia supaya dia dikasihani.

Sebagai makhluk yang patuh dan berzikir kepada Allah, tentu saja bumi ini akan mematuhi arahan Allah kepadanya.


Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Bumi cuba memberikan peringatan kepada manusia supaya kembali kepada Allah dengan memberi peringatan demi peringatan.

Pelbagai bencana alam yang berlaku seperti tsunamitanah runtuh dan gempa bumi nampaknya belum berjaya membawa umat manusia kembali kepada Allah.

Malah, ada pula yang mengatakan bencana alam tiada kaitan dengan Penciptanya dan ia hanya tidak lebih daripada hukum alam.

Lebih mendukacitakan lagi adalah manusia yang tahu mengenai wahyu yang disampaikan kepadanya.


Mereka tahu apa yang halal dan haram tetapi mereka tidak berusaha meninggalkannya.

 Awal minggu lalu saya ke Kuala Lumpur kerana ada urusan.

Setiba saya di Kuala Lumpur , mata saya tiba-tiba ‘tertangkap’ satu pemandangan yang menyebabkan perasaan bercampur baur.
Perasaan sedih, marah dan hairan bercampur-aduk dan saya terpaku di situ untuk beberapa ketika bagi terus menyaksikan apa yang saya lihat di depan mata.
Ia adalah satu situasi di sebuah kedai lambakan ubat-ubatan dan peralatan seks yang sebelum ini dijual secara terbuka di negara-negara luar seperti Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom atau Belanda kini mula menular di negara ini.


Kedai itu bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan dewasa malah lebih mendukacitakan, pelajar-pelajar sekolah turut menjadi pelanggan mereka.
Lebih menjengkelkan apabila remaja Melayu yang bertudung dan berbaju kurung ditemani pasangan masing-masing serta pelancong dari negara Timur Tengah tanpa segan silu masuk dan membeli beberapa peralatan seks di kedai terbabit.
Selain sarat dengan pelbagai ubatan, anak patung seks berbentuk tubuh wanita, gel, pakaian dalam malah rantai kunci yang memaparkan objek organ seks tiruan turut dijual dengan harga antara RM12 dan RM300.
Membuatkan perasaan saya bercampur baur ketika itu ialah hampir 70 peratus yang keluar masuk menjadi pelanggan kedai berkenaan adalah berbangsa Melayu yang saya percaya beragama Islam.
Apabila saya bertanya kepada sahabat setugas saya , antara maklum balas yang banyak diterima adalah situasi ini sebenarnya ‘biasa’ di negara kita pada hari ini.   Namun begitulah realiti sekarang, semakin kita menuju ke dunia akhir zaman, manusia semakin berani mencabar kekuasaan Allah.
Kita sebenarnya hidup di dunia dengan rahmat Allah.

Jika tidak kerana rahmat-Nya, nescaya kita dibinasakan dengan azab-Nya seperti mana yang menimpa umat terdahulu. 
mior-halimah


Lawatan Obama ke Asia: Harapan dan implikasi




Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia dan tiga negara Asia lain ialah sebahagian daripada satu agenda besar AS di Asia-Pasifik, pada masa China sedang pesat bangkit dan sekutu-sekutu di Asia-Pasifik berdepan masa depan yang sukar.

Hal ini mungkin kurang dirasakan di Malaysia disebabkan kedudukan Malaysia yang agak jauh dari China, dan kejayaan pemerintah mengimbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa AS dan China dalam mengemudi hubungan luar negara.

Dari segi Obama sebagai presiden yang berada di penggal terakhir, harapan yang besar bagi beliau ialah menyempurnakan atau sekurang-kurangnya membawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, TPPA, ke peringkat akhir.

Tanda-tanda menunjukkan agenda ini tidak mudah, terutama ekoran isu yang masih tidak selesai dengan Jepun, sekutu kuat AS sendiri, antaranya melibatkan akses untuk produk pertanian dan pembuatan automobil, dua bidang yang menjadi tunggak penting ekonomi kedua-dua negara.

Pada masa sama, Obama berdepan tentangan kuat daripada dalam Parti Demokratik sendiri, yang melihat janji-janji seperti peluang pekerjaan akan hanya tinggal janji, seperti yang telah disaksikan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, Nafta.

Malah, menjelang lawatan Asia Obama, tiga anggota Kongres AS daripada Demokrat, George Miller, Rosa DeLauro dan Louise Slaughter menulis dalam akhbar Los Angeles Times, menyimpulkan, "Kita tidak patut secara membuta mengesahkan lebih banyak perjanjian-perjanjian seperti Nafta yang tidak adil, yang dirundingkan di balik pintu yang tertutup, yang membawa ancaman mengkhianati para pekerja Amerika, membawa sektor pembuatan kita ke negara luar dan mempercepatkan gaji dan faedah pekerja menjunam jatuh."

Malaysia yang terlibat dalam rundingan TPPA dan dilihat sebagai tidak mempunyai kelebihan dalam rundingan dan semakin tertekan, mungkin boleh terselamat daripada tekanan untuk segera menyempurnakan perjanjian ini ekoran masalah yang masih tidak selesai melibatkan sekutu kuat AS sendiri dan tentangan dalam kalangan Demokrat di AS.

Malah, lawatan Obama juga dilihat sesetengah pemerhati sebagai lebih bersifat simbolik berbanding substantif berhubung agenda TPPA, dan lawatan ini berlaku agak lewat, dalam penggal kedua selepas dasar berpasak di Pasifik dimulakan semasa penggal pertama Obama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dielakkan faktor operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang, dipercayai di Lautan Hindi, yang melibatkan bantuan yang besar daripada AS dan juga sekutu kuatnya Australia.

Tragedi pesawat MH370 telah merapatkan lagi Malaysia dengan AS, dan menampakkan keperluan terhadap kemampuan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana tentera AS di rantau Indo-Pasifik, mengulangi dan menegaskan apa yang ditunjukkan melalui tsunami 2004 dan taufan di Filipina hujung tahun lalu.

Hubungan yang semakin rapat ini memudahkan lagi usaha untuk Malaysia menyelaraskan dasar dan tindakan dengan AS, terutama melibatkan dua bahagian yang saling melengkapi dalam infrastruktur untuk berdepan kebangkitan China di rantau ini, iaitu TPPA melibatkan perdagangan dan kerjasama dan penyusunan politik dan ketenteraan yang lebih rapat, termasuk melibatkan Asean.

Dalam bab kerjasama keselamatan, ancaman China yang jelas kepada negara-negara jiran yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan dan Timur menjadikan peranan AS semakin diperlukan, seperti yang ditunjukkan oleh Filipina terutamanya.

Tindakan-tindakan China kebelakangan ini merapatkan persefahaman negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun persefahaman yang lebih bersifat formal - seperti kenyataan sesetengah pemerhati yang membayangkan penubuhan "Nato Asia" - sukar untuk dilihat berlaku, memandangkan keperluan memelihara hubungan dengan China, yang dijangka akan terus bangkit dari sudut ekonomi dan juga ketenteraan.

AS juga dinilai lebih menumpukan pada rantau Asia Barat selama ini, walaupun mengisytiharkan tumpuan pada rantau Asia-Pasifik, sehingga menimbulkan kebimbangan sekutu-sekutu, kebimbangan yang masih tidak dapat dihilangkan oleh lawatan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel beberapa minggu lalu.

Negara-negara Asia termasuk Malaysia, lokasi laluan penting perdagangan Selat Melaka, menyedari keperluan pragmatik dan realistik memelihara hubungan dengan China, memandangkan faktor geografi yang tidak dapat dielakkan dan perdagangan.

AS kini berada dalam peringkat pengunduran atau secara relatif semakin merosot kuasanya berbanding negara-negara baharu muncul dan pesat membangun, dengan China menjadi ancaman yang paling jelas dan kredibel pada masa ini.

Dari sudut persaingan dalam pembentukan orde baharu dunia, China ialah ancaman yang paling perlu ditangani, kerana ia melibatkan kedua-dua ekonomi dan juga politik yang sentiasa berkait. 
 
China menjadi pesaing ekonomi dan perdagangan kepada AS, dan pada masa sama berhubungan baik dari segi politik dengan Rusia dan Iran yang mempunyai pandangan alam yang bertentangan dengan visi AS.

Malaysia, dalam perkembangan yang rancak ini, jelas kelihatan lebih cenderung untuk bersama AS, walaupun tidak secara jelas merendahkan kerjasama dengan China akibat keperluan praktikal, dan lawatan Obama bakal menjelaskan lagi hal ini.

Selain dua isu ini, kehadiran Obama juga menuntut pemerhatian terhadap isyarat-isyarat penting lain, khususnya melibatkan agenda liberal kebebasan, termasuk penyebaran demokrasi yang menjadi tonggak dasar luar AS.

Malaysia menjadi satu-satunya negara Islam dalam siri lawatan Obama kali ini, yang bakal menyaksikan mesej berhubung hal ini disampaikan, walaupun mungkin tidak menyamai "ucapan kepada dunia Islam" di Universiti Kaherah di Mesir pada 4 Jun, 2009.

Isyarat berhubung kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju - dan juga isu Islam yang lebih besar - dijangka menjadi salah satu tumpuan penting dalam lawatan Obama nanti, pada masa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif.

Ucapan Obama di Kaherah itu ditunggu-tunggu untuk menilai pandangan pentadbiran baharu AS terhadap dunia Islam, dan menariknya, perubahan politik yang besar kemudian berlaku di Mesir, dan sesetengah pihak mengaitkan ucapan Obama dengan perubahan yang tercetus lebih setahun selepas itu. 

Khamis, 24 April 2014

TANPA BERSELINDUNG. Malaysia diserang?



Apa sudah jadi?
Lepas satu, satu masalah timbul dalam negara kita...


Bermula isu penerbangan MAS menerusi pesawat MH370 yang dilapor hilang yang sehingga hari ini masih dalam misi mencari dan menyelamat, disusuli pula dengan insiden pesawat MH192 yang dalam penerbangan ke Bangalore, India yang terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana satu daripada tayar pada gear pendaratan utama sebelah kanan meletup ketika berlepas. Kenapa sebelum ini jarang kedengaran berita sebegini? Kenapa hanya diwaktu-waktu ini, cubaan disabotaj?


Terbaru, insiden melibatkan kawasan pengairan kita dimana lima lelaki, dua bersenjatakan pistol seorang lagi parang, menyamun sebuah kapal Jepun dengan memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua buah kapal tanker berhampiran Pulau Ketam awal pagi semalam.


Dalam 3 insiden tersebut jelas negara yang terlibat adalah China, India dan Jepun. Maka ia sekaligus menunjukkan seolah-olah ikatan diplomatik 3 negara berkenaan dengan Malaysia cuba di renggangkan.

Ini serangan hebat yang perlu ditempuh negara, serangan secara terang-terangan ini dilihat sengaja mahu menguji kerajaan pemerintah bahkan cuba mencetuskan perang besar antara Malaysia dengan negara luar.

Apa yang berlaku sehingga April 2014 ini ialah, negara kita sedang diuji dan diancam!

Lawatan Obama: Kawalan Keselamatan Di KL Diperketat

obama in malaysia

KUALA LUMPUR: Bersedialah dengan kawalan keselamatan peringkat tertinggi menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di ibu negara pada Sabtu ini.
Menjadi tradisi apabila pemimpin tertinggi AS itu berada di luar negara, tahap keselamatan sama ada di jalan raya mahupun ruang udara sering dititik-beratkan.
Selain kehadiran polis, beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dengan ‘zon larangan terbang’ dikuatkuasakan menjelang ketibaan Obama di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, petang Sabtu.
Setiap orang mengunci mulut mengenai setiap pergerakan Obama di sini.
Seorang pegawai Kedutaan AS memberikan respons dengan berkata: ‘Untuk memberitahu anda, saya perlu membunuh anda.”
Perkhidmatan Rahsia AS telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu, bagi ‘melindungi’ laluan, hotel dan lokasi yang akan ditujui Obama.
Pesawat kargo tentera AS telah mula menghantar peralatan logistik untuk lawatan Obama termasuk kenderaan sokongan dan trak sarat dengan kepingan kaca kalis peluru untuk melindungi cermin hotel yang menempatkan presiden itu.
Lawatan Obama ke Malaysia merupakan yang pertama dilakukan Presiden AS dalam tempoh 48 tahun lalu selepas kunjungan terakhir oleh Lyndon B. Jonhson pada 1966.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan langkah keselamatan di ruang utama akan diperketatkan.
Beliau berkata, jabatan itu sudah berada dalam keadaan sedia.
“Saya tidak boleh beritahu anda lebih banyak mengenainya kerana ia akan melanggar etika,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, polis sudah bersedia sepenuhnya dalam aspek keselamatan.
“Kami mempunyai pasukan yang mencukupi dan akan bekerjasama dengan agensi lain bagi memastikan segalanya berjalan lancar,” katanya.
Presiden AS ke-44 itu akan dibawa menggunakan kereta berperisai, Cadillac One yang dilengkapi dengan semua ciri-ciri keselamatan.
Suasana sepanjang kunjungan Obama di Malaysia pernah dirasai di Tokyo, dimana kira-kira 16,000 anggota polis dikerahkan untuk mengawal keselamatan Obama yang berkunjung ke negara matahari terbit itu hampir dua dekad lalu.
Obama kini berada di Jepun dan akan berangkat ke Seoul sebelum memulakan lawatan ke Malaysia, Sabtu ini.
Media tempatan melaporkan, satu pertiga anggota polis ditugaskan semasa lawatan dua hari Obama ke Jepun yang bermula pada Rabu.

Brunei terpaksa akur desakan PBB dan tangguh hudud



Setelah berkali-kali ditekan dan didesak oleh beberapa pertubuhan besar seperti PBB  akhirnya Brunei mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sebatan dan rejam yang terdapat dalam hukum hudud negara itu yang sepatutnya dilaksanakan pada hari ini.
Bagaimanapun, 'majlis perisytiharan' syariah akan teruskan seperti yang dirancang pada 30 April untuk melancarkan fasa pertama kod keseksaan baharu.
Agensi berita AFP melaporkan, Penolong Pengarah Unit Perundangan Islam Brunei, Jauyah Zaini yang dipetik melalui akhbar Brunei Times berkata, pelaksanaan hukum itu telah ditangguhkan disebabkan oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan itu beliau tidak menjelaskan ataupun memberi tarikh baharu kepada pelaksanaan hukuman tersebut tetapi ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kini dalam lawatan ke Singapura dan ketiadaan baginda, yang merupakan penggerak kepada pelaksanaan hudud di Brunei, menjadi antara sebab pelancaran penguatkuasaannya ditangguhkan.
Negara Brunei sebelum ini telah memutuskan untuk melaksanakan hukum hudud di bawah kod jenayah baharu yang membawa pelaksanaan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Namun, keputusan itu telah mendapat tentangan dan kritikan hebat daripada pelbagai media Barat yang menyifatkan pelaksanaan hukum itu sebagai bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini,Brunei juga mengumumkan golongan homoseksual juga tidak terlepas dari hukuman hudud dan pengumuman itu menyebabkan golongan LGBT ini melakukan bantahan dan memboikot Sultan Brunei.

Ahad, 20 April 2014

Ciri orang yang mencintai keluarga

Tanpa sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.
Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera. Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.
Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.
Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Sabtu, 19 April 2014

Kematian Karpal Singh perlu disimpati, bukan dikeji

Berita mengenai kematian Karpal Singh, seorang pemimpin veteran DAP dan juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang terlibat dalam kemalangan jalanraya awal pagi semalam, tentunya mengejut dan memeranjatkan banyak pihak.
Malah ada yang memeriksa daripada beberapa sumber lain untuk memastikan kesahihannya, sebelum benar-benar mempercayai kematiannya.
Walaupun beliau seorang pemimpin pembangkang dan DAP, perjuangannya dalam menegakkan keadilan melalui kerjaya guamannya amat mengagumkan.
Beliau boleh dikatakan peguam tersohor dan legenda dalam bidang guaman di negara ini.
Kematiannya membuatkan sesiapa juga yang mencintai keadilan dan hak seseorang berdasarkan Perlembagaan, pastinya turut bersedih.
Ada yang terbuka menzahirkan kesedihan, lebih ramai lagi sebenarnya yang berbuat demikian dalam diam.
Sebagai seorang Islam, tidak salah untuk kita menzahirkan simpati atas kehilangannnya walaupun berlainan agama.
Nabi Muhammad sendiri pernah menzahirkan penghormatan atas kematian seorang Yahudi dengan berdiri sebagai tanda hormat Baginda sambil berkata, "Bukankah dia juga seorang manusia."
Jika Nabi Muhammad sendiri menunjukkan teladan terpuji atas kematian seorang yang bukan Islam, amatlah tidak wajar kita pula menunjukkan sikap yang sebaliknya.
Hanya kerana Karpal Singh seorang pemimpin pembangkang bukan Islam dan menentang pelaksanaan hukum hudud, sebenarnya ia bukanlah halangan kepada kita sebagai umat Islam untuk turut bersedih, bersimpati dan memberi penghormatan atas kematiannya.
Hormatinya beliau sebagai manusia dan perjuangannya terhadap keadilan sepanjang hidupnya.
Penentangannya terhadap hukum hudud barangkali boleh dimaafkan kerana beliau bukan beragama Islam yang memahami sepenuhnya perlaksanaan hukum tersebut.
Tetapi bagaimana dengan adanya orang Islam sendiri yang menentang hudud dengan pelbagai hujah tidak Islamik?
Pemmpin Umno sendiri, termasuk yang berpendidikan agama, ramai yang mengeluarkan pendapat memperlekeh hudud dengan antaranya termasuk Dr Mashitah Ibrahim yang bekata, jika selepas dipotong tangan kanan kerana kesalahan mencuri pertama, kemudian tangan kiri pula kerana kesalahan kedua, selepas itu apa pula yang mahu dipotong?
Bukankah ia lebih menghina berbanding Karpal yang hanya berkata, "Langkah mayat saya dulu," jika mahu melaksanakan hudud?
Sebab itu kata-kata keji di laman sosial mengenai kematian Karpal Singh ini tidak boleh diterima sama-sekali.
Ia bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan meletakkan agama Islam dipandang hina oleh agama lain.
Beberapa pengendali laman sosial pro-Umno yang mengungkapkan perkataan "kojol", "mampus" dan sebagainya untuk menggambarkan kematiannya, langsung tidak beretika sebenarnya.
Begitu juga dengan tindakan Naib Presiden Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin yang cuba mempolitikkan kematian Karpal dengan mengatakan kematiannya sengaja ditakdirkan Allah untuk memudahkan pelaksanaan hukum hudud, juga tidak boleh diterima serta melambangkan sarang pemikirannya yang kotor lagi keji.
Tidakkah beliau sedar yang paling utama menentang hudud ialah Mahathir?
Bekas perdana menteri itu bukan saja menulis surat mengenainya, bercakap dalam pelbagai nada, bahkan menggunakan Parlimen untuk menghalangnya dengan mengatakan pelaksanaan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Speaker DUN Terengganu pula baru-baru ini turut menolak usul hudud yang dibentangkan.
Jadi siapa sebenarnya yang lebih menolak hudud?
Di ketika semua pihak, termasuk pemimpin BN sendiri menzahirkan simpati, tindakan Zulkifli Nordin dan beberapa pihak lain yang bersikap sebaliknya atas kematian Karpal ini tidak lebih menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan kerosakan hati yang mereka sedang alami.
Sebab itulah tindakan Khairy Jamaluddin yang menempelak Zulkifli dengan teguran keras "Shut up. Really shut up." amat bertepatan sekali walaupun KJ jarang memakai kopiah putih di kepalanya seperti penampilan Zulkifli itu.
Kematian Karpal tidak harus dilihat daripada sudut penolakannya terhadap hudud sahaja, tetapi harus diteropong dalam konteks yang lebih luas sehingga beliau ditahan dibawah ISA dan jika masih hidup, mungkin akan dipenjara selepas ini dibawah Akta Hasutan, walaupun perjuangannya lebih untuk keadilan, hak dan kebenaran.
Cukuplah mengeji dan memaki hamun semasa beliau masih hidup, tetapi selepas kematiannya, semuanya harus diakhiri dan menerima penentangannya terhadap hudud adalah kerana ketidakfahamannya terhadap hukum Allah itu.

Khamis, 17 April 2014

Sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan dijangka dilaksana 1 Mei

Sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan dijangka dilaksana 1 MeiSistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan dijangka dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Mei, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Beliau berkata melalui sistem itu, pembeli kenderaan boleh mendapatkan nombor pendaftaran mengikut negeri yang dikehendaki tanpa perlu pergi ke negeri terbabit.
Sebagai contoh, katanya pembeli kenderaan di negeri Melaka yang ingin mendapatkan nombor pendaftaran Johor boleh memohon di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka tanpa dikenakan sebarang bayaran. 
"Sistem ini bagi menampung kehendak pelanggan kerana ada pengguna jalan raya yang meminati nombor pendaftaran tertentu, jadi bagi memudahkan pelanggan maka kerajaan memudahkan pendaftaran di mana-mana negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan kursus asas pegawai penguatkuasa gred N41 dan pembantu penguatkuasa gred N17 di Akademi Pengangkutan Jalan di Melaka, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.
Ditanya sama ada perkhidmatan pengkomputeran mySIKAP JPJ mampu menampung sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan berkenaan, Ab Aziz berkata sistem mySIKAP kini semakin lancar.
Sistem mySIKAP diperkenal November tahun lepas sebelum ini mengalami beberapa gangguan menyebabkan proses urus niaga menjadi perlahan sehingga mengakibatkan pelanggan menunggu lama ketika berurusan di pejabat-pejabat JPJ.
Dalam pada itu, Ab Aziz berkata pertukaran hak milik kenderaan menggunakan sistem biometrik bagi syarikat akan dilaksanakan pada 1 Jun.
Katanya pertukaran hak milik kenderaan menggunakan sistem biometrik bagi individu telah bermula pada 1 April lepas bertujuan mengelak kes pemalsuan dokumen.
Melalui sistem biometrik berkenaan, pemilik asal dan bakal pemilik harus hadir sendiri ke kaunter JPJ berhampiran untuk mendaftarkan cap jari masing-masing sebelum memulakan transaksi jual beli. 

Isnin, 14 April 2014

Angan - Angan Jadi VIP, Silap - Silap Jadi VDP...

Sekiranya datang kepada kita seseorang membawa berita tentang apa yang "sebenarnya" terjadi kepada pesawat penerbangan MH370, itu ini, begitu begini, janganlah kita terus percaya bulat-bulat. Hendaklah kita siasat dengan teliti.
MH370-Mimpi-Ustaz-Darul-Manzil-Pesawat-Terhempas-Di-LautanKita barangkali mudah menepis cerita yang didakwa kisah sebenar kononnya tentang nasib malang MH370 itu kalau ia berkait dengan tenung nasib, ilmu tilik atau teropong ajaib. Ini cerita karut, tidak masuk akal dan menyesatkan, kata kita.
Tetapi kita tidak semua, mudah pula sebaliknya terperangkap untuk percaya dengan cerita yang kononnya datang daripada mimpi, misalnya.
Mimpi-mimpi itu sekarang tersebar melalui jaringan sosial media, dikongsi oleh kawan yang kemudian berkongsi pula dengan kawan-kawan yang lain. Begitulah seterusnya.
Seorang ustaz yang bergiat dalam perubatan Islam menulis di Facebook tentang mimpinya melihat detik-detik akhir pesawat MH370 sebelum jatuh ke laut.
Macam mana 'establishing shot' bahawa pesawat itu adalah penerbangan MH370 tidak beliau ceritakan dalam tulisannya itu apakah ada penampakan nombor pendaftaran pada ekor pesawat, apakah ada pengumuman oleh juruterbang atau apakah tahu-tahu begitu saja mimpinya.
Tetapi naratif mimpi begitulah; memang selalu tidak ada aturan, melawan logik akal dan selalu juga, melawan hukum alam. Seorang kawan saya mengaku setiap kali dia bermimpi terjatuh daripada tempat tinggi, dia tidak pernah jatuh sampai ke tanah selalu saja terbang jatuh tetapi tidak jatuh-jatuh. Mimpi seperti itu yang selalu cukup memenatkan, katanya.
Sepasang suami isteri di Bogor, Indonesia pula mendakwa dapat berhubung secara ghaib dengan krew pesawat. Daripada komunikasi itu, mereka diberitahu tentang keadaan pesawat yang mati seluruh perangkatnya dan kemudian jatuh ke laut.
Ada satu persamaan pada dua cerita ini: bahawa kedua-duanya berlaku selepas mereka membaca Al-Quran atau bersolat sunat. Ada banyak cerita seperti ini.
Bomoh yang melagakan dua biji kelapa muda itu pun melaungkan kalimah Allahuakbar. Bahawa ada nuansa agama dalam cerita-cerita seperti ini adalah hal yang cukup menarik agama jadi bumbu yang menyedapkan cerita, yang memberikan rasa yang lain kepada yang mendengarnya.
Apakah mimpi dan hal-hal lain itu boleh dipercayai? Siapa yang hendak percaya, percayalah. Siapa yang tidak mahu percaya, tidak usahlah percaya. Berpeganglah kepada panduan ini: Kamu dengan kepercayaanmu, aku dengan kepercayaanku.
Tetapi selain mimpi dan hal-hal ghaib yang disangkutkan dengan misteri kehilangan MH370, ada juga 'tukang tilik' yang muncul dengan bermacam-macam teori. Sesetengah mereka ini muncul di televisyen dan akhbar dengan penampilan yang meyakinkan maklumlah, jual ayat.
Ada cerita kononnya pesawat itu disorok di satu tempat rahsia untuk kegunaan akan datang. Ada cerita ia gagal dikesan kerana ada pihak yang menggunakan teknologi halimunan. Ingat cerita Harry Porter dengan jubah halimunannya?
Ada juga cerita kononnya pesawat itu hilang kerana persaingan merebut hak paten yang dipegang oleh penumpangnya. Ada juga cerita kononnya MH370 terbang dibayangi sebuah pesawat lain milik Singapore Airlines dan kerana itu ia tidak dapat dikesan oleh radar. Ada juga cerita kononnya pihak berkuasa berkonspirasi menyembunyi cerita yang sebenarnya.
Dalam banyak-banyak teori konspirasi itu, ada satu yang menjadi pilihan saya. Seorang aktivis wanita di Kuwait tampil mendakwa dia tahu kenapa pesawat Malaysia Airlines itu hilang.
Katanya, di kalangan penumpang MH370, ada seorang "personaliti Asia yang penting". Dia tidak menamakan siapa penumpang itu.
Tetapi, melalui satu mesej di YouTube, aktivis itu menegaskan dia hanya akan mendedahkan maklumat tersebut kalau ada permintaan rasmi.
"Tidak bolehkah Malaysia menghantar wakil kedutaan untuk berjumpa saya (dan mendapatkan maklumat tersebut)? Kenapa perlu hanyar sampai 40 buah pesawat mencarinya dan mengheret seluruh dunia dalam masalah yang saya boleh selesaikan dengan mudah?" kata wanita itu.
"Percayalah, saya boleh selesaikan masalah ini kalau mereka (Malaysia) secara rasmi minta pertolongan saya. Banyak orang minta saya campur tangan tetapi saya tidak mahu kecuali ada permohonan rasmi."
Dalam tragedi, banyak orang yang bersimpati dan memahami tetapi banyak juga yang pasang lukah di tempat genting. Setakat ini, sesiapa pun yang mendakwa tahu sebab musabab kehilangan MH370, sama dia raja penipu atau tilikannya bernasib baik macam Nujum Pak Belalang.
Sehingga ini, teori tetap tinggal jadi teori. Seorang kawan saya menulis di Facebook: "Janganlah kita yang rasional ini terpedaya dengan teori konspirasi. Yang sakit mental itu, biarlah."
Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu mungkin hanya akan terjawab apabila kotak hitam pesawat itu berjaya ditemui. Atau mungkin juga nanti apabila siasatannya selesai, kita tetap tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada 8 Mac lalu.
Tetapi sehingga misteri ini dirungkaikan nanti, kita akan terus dihadapkan dengan banyak orang yang muncul dengan bermacam-macam teori.
Mereka mungkin merasakan teori-teori itu menjadikan mereka sebagai VIP, orang yang penting. Mereka tidak sedar betapa teori-teori itu menjadikan mereka VDP, very dumb person.

Sabtu, 12 April 2014

Info ringkas tentang perlaksanaan cukai GST di Malaysia.( Good and Service Tax )

Good and Service Tax sudah diluluskan di Malaysia dan akan bermula pada April 2015 tahun depan. Perlaksanaannya dikatanya akan memberi kesan ketara kepada rakyat dan ekonomi Malaysia. Sejauh mana kesan dan efektifnya cara ini, kita akan dapat lihat dalam masa beberapa tahun akan datang. Sehingga hari ini, ramai yang tidak setuju dan ramai juga yang mengalu-alukan perlaksanaan sistem percukaian baru GST ini.
Jom kita lihat, info ringkas tentang perlaksanaan cukai GST di Malaysia. Adakah benar perlaksanaan GST ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia?

Info ringkas GST
Info ringkas GST
Info ringkas GST

Saya sendiri pun masih lagi kurang arif tentang perlaksanaan GST ini kerana ia merangkumi pelbagai aspek termasuk aktiviti rakyat, ekonomi dan juga mungkin kesan jangka panjang masalah sosial. Mungkin???
Dari segi teori memang nampak rakyat akan dapat faedah secara menyeluruh. Itu yang kita sebagai rakyat mahu. Harga barangan dan servis yang murah dan berbaloi. Namun, seperti yang saya kata tadi, kita tunggu dulu beberapa tahun selepas perlaksanaannya, baru kita dapat tengok kesannya.

JAUH DI SUDUT HATI.

Kitaran kehidupan merupakan lumrah yang perlu dihadapi bagi setiap mereka yang bernyawa, tatkala ku duduk sendirian, kadangkala fikiran ini jauh melayang, sepanjang 50tahun melalui melodi kehidupan ini, apa perkara yang paling membanggakan pernah ku sumbangkan kepada keluarga, agama,bangsa dan negara, impian di hati ini tinggi mengunung, memadai kah usaha yang selama ini ku taburkan untuk aku megah berkata ku korbankan segalanya bagi mencapai cita-cita ini?

Hari berganti hari, minggu bertukar bulan, bulan menjejak tahun, usai masa berlalu, diri ini terus berdiri, terus berlari. Jatuh tersembam, ku bangun kembali, kerana impian di tanam di dalam hati masih lagi terus marak berapi. Usia ini terus meningkat, masa berlalu nan pantas. Kehidupan ini yang telah kupilih, akan ku habiskan apa yang sudah ku mulai, akan ku genggam cita-cita nan satu. Setiap hari, pelbagai karenah manusia dapat ku perhatikan, darinya ku belajar untuk menilai dari sudut pandangan diriku, ada yang membuat ku melopong kagum, ada pula mereka yang menjengkel,memualkan, ada yang baik di hadapan, menikam tatkala kita menoleh kehadapan. Manusia, alpa dalam mengejar cita-cita,tanpa disedari semuanya tertanam, terkubur begitu sahaja, Ku berdoa padamu Illahi,dengan nama Allah yang maha agung, aku akan terus mengorak langkah berlari. Kerana, aku masih jauh darimu. jauh nun di sana. 

Ahad, 6 April 2014

Penerjun Bebas Nyaris Maut Dirempuh Meteor – Video Anders Helstrup


meteor

SEORANG penerjun bebas bukan sahaja berjaya merakam detik luar biasa tentang pergerakan meteor jatuh ke bumi tetapi dia juga bernasib baik kerana tidak terbunuh akibat dihentam batu tersebut.

Video pergerakan meteor dari jarak dekat yang pertama di dunia itu dirakam oleh Anders Helstrup secara tidak sengaja ketika melakukan terjunan bebas.

Ahli geologi Hans Amundsen berkata, video yang telah dikeluarkan melalui saluran berita Norway itu merupakan rakaman pertama di dunia mengenai meteor yang sedang jatuh ke bumi.
“Ia bukan benda lain lagi. Bentuknya mirip meteor, pada satu bahagian ia seperti telah pecah dan sebelah lagi bulat dan masih elok,” katanya.
Helstrup merakam video tersebut ketika membuat terjunan bebas bersama Kelab Payung Terjun Oslo berdekatan Lapangan Terbang Østre Æra di Norway.
meteorit
Gambar Huffpost Anders Helstrup Norway Meteorit
Semasa Helstrup membuat terjunan dari pesawat, meteor tersebut dikesan lalu dengan jarak beberapa kaki disebelahnya dengan kelajuan 300 batu sejam.
“Saya perasaan ada sesuatu selepas terjun dari pesawat, tetapi saya tidak tahu apakah ia,” kata Helstrup.
Amundsen yang merupakan kakitangan NASA memberitahu, pihaknya percaya batu tersebut adalah sebahagian daripada meteor besar yang telah pecah ketika jatuh ke bumi. Mstar / Huffpost