Jumaat, 25 April 2014

Lawatan Obama ke Asia: Harapan dan implikasi




Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia dan tiga negara Asia lain ialah sebahagian daripada satu agenda besar AS di Asia-Pasifik, pada masa China sedang pesat bangkit dan sekutu-sekutu di Asia-Pasifik berdepan masa depan yang sukar.

Hal ini mungkin kurang dirasakan di Malaysia disebabkan kedudukan Malaysia yang agak jauh dari China, dan kejayaan pemerintah mengimbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa AS dan China dalam mengemudi hubungan luar negara.

Dari segi Obama sebagai presiden yang berada di penggal terakhir, harapan yang besar bagi beliau ialah menyempurnakan atau sekurang-kurangnya membawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, TPPA, ke peringkat akhir.

Tanda-tanda menunjukkan agenda ini tidak mudah, terutama ekoran isu yang masih tidak selesai dengan Jepun, sekutu kuat AS sendiri, antaranya melibatkan akses untuk produk pertanian dan pembuatan automobil, dua bidang yang menjadi tunggak penting ekonomi kedua-dua negara.

Pada masa sama, Obama berdepan tentangan kuat daripada dalam Parti Demokratik sendiri, yang melihat janji-janji seperti peluang pekerjaan akan hanya tinggal janji, seperti yang telah disaksikan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, Nafta.

Malah, menjelang lawatan Asia Obama, tiga anggota Kongres AS daripada Demokrat, George Miller, Rosa DeLauro dan Louise Slaughter menulis dalam akhbar Los Angeles Times, menyimpulkan, "Kita tidak patut secara membuta mengesahkan lebih banyak perjanjian-perjanjian seperti Nafta yang tidak adil, yang dirundingkan di balik pintu yang tertutup, yang membawa ancaman mengkhianati para pekerja Amerika, membawa sektor pembuatan kita ke negara luar dan mempercepatkan gaji dan faedah pekerja menjunam jatuh."

Malaysia yang terlibat dalam rundingan TPPA dan dilihat sebagai tidak mempunyai kelebihan dalam rundingan dan semakin tertekan, mungkin boleh terselamat daripada tekanan untuk segera menyempurnakan perjanjian ini ekoran masalah yang masih tidak selesai melibatkan sekutu kuat AS sendiri dan tentangan dalam kalangan Demokrat di AS.

Malah, lawatan Obama juga dilihat sesetengah pemerhati sebagai lebih bersifat simbolik berbanding substantif berhubung agenda TPPA, dan lawatan ini berlaku agak lewat, dalam penggal kedua selepas dasar berpasak di Pasifik dimulakan semasa penggal pertama Obama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dielakkan faktor operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang, dipercayai di Lautan Hindi, yang melibatkan bantuan yang besar daripada AS dan juga sekutu kuatnya Australia.

Tragedi pesawat MH370 telah merapatkan lagi Malaysia dengan AS, dan menampakkan keperluan terhadap kemampuan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana tentera AS di rantau Indo-Pasifik, mengulangi dan menegaskan apa yang ditunjukkan melalui tsunami 2004 dan taufan di Filipina hujung tahun lalu.

Hubungan yang semakin rapat ini memudahkan lagi usaha untuk Malaysia menyelaraskan dasar dan tindakan dengan AS, terutama melibatkan dua bahagian yang saling melengkapi dalam infrastruktur untuk berdepan kebangkitan China di rantau ini, iaitu TPPA melibatkan perdagangan dan kerjasama dan penyusunan politik dan ketenteraan yang lebih rapat, termasuk melibatkan Asean.

Dalam bab kerjasama keselamatan, ancaman China yang jelas kepada negara-negara jiran yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan dan Timur menjadikan peranan AS semakin diperlukan, seperti yang ditunjukkan oleh Filipina terutamanya.

Tindakan-tindakan China kebelakangan ini merapatkan persefahaman negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun persefahaman yang lebih bersifat formal - seperti kenyataan sesetengah pemerhati yang membayangkan penubuhan "Nato Asia" - sukar untuk dilihat berlaku, memandangkan keperluan memelihara hubungan dengan China, yang dijangka akan terus bangkit dari sudut ekonomi dan juga ketenteraan.

AS juga dinilai lebih menumpukan pada rantau Asia Barat selama ini, walaupun mengisytiharkan tumpuan pada rantau Asia-Pasifik, sehingga menimbulkan kebimbangan sekutu-sekutu, kebimbangan yang masih tidak dapat dihilangkan oleh lawatan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel beberapa minggu lalu.

Negara-negara Asia termasuk Malaysia, lokasi laluan penting perdagangan Selat Melaka, menyedari keperluan pragmatik dan realistik memelihara hubungan dengan China, memandangkan faktor geografi yang tidak dapat dielakkan dan perdagangan.

AS kini berada dalam peringkat pengunduran atau secara relatif semakin merosot kuasanya berbanding negara-negara baharu muncul dan pesat membangun, dengan China menjadi ancaman yang paling jelas dan kredibel pada masa ini.

Dari sudut persaingan dalam pembentukan orde baharu dunia, China ialah ancaman yang paling perlu ditangani, kerana ia melibatkan kedua-dua ekonomi dan juga politik yang sentiasa berkait. 
 
China menjadi pesaing ekonomi dan perdagangan kepada AS, dan pada masa sama berhubungan baik dari segi politik dengan Rusia dan Iran yang mempunyai pandangan alam yang bertentangan dengan visi AS.

Malaysia, dalam perkembangan yang rancak ini, jelas kelihatan lebih cenderung untuk bersama AS, walaupun tidak secara jelas merendahkan kerjasama dengan China akibat keperluan praktikal, dan lawatan Obama bakal menjelaskan lagi hal ini.

Selain dua isu ini, kehadiran Obama juga menuntut pemerhatian terhadap isyarat-isyarat penting lain, khususnya melibatkan agenda liberal kebebasan, termasuk penyebaran demokrasi yang menjadi tonggak dasar luar AS.

Malaysia menjadi satu-satunya negara Islam dalam siri lawatan Obama kali ini, yang bakal menyaksikan mesej berhubung hal ini disampaikan, walaupun mungkin tidak menyamai "ucapan kepada dunia Islam" di Universiti Kaherah di Mesir pada 4 Jun, 2009.

Isyarat berhubung kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju - dan juga isu Islam yang lebih besar - dijangka menjadi salah satu tumpuan penting dalam lawatan Obama nanti, pada masa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif.

Ucapan Obama di Kaherah itu ditunggu-tunggu untuk menilai pandangan pentadbiran baharu AS terhadap dunia Islam, dan menariknya, perubahan politik yang besar kemudian berlaku di Mesir, dan sesetengah pihak mengaitkan ucapan Obama dengan perubahan yang tercetus lebih setahun selepas itu. 

Tiada ulasan: