Sabtu, 1 November 2014

Mabul & Sipadan Umpama Syurga Sang Penyu




PULAU Sipadan dan Mabul cukup terkenal sebagai lokasi percutian popular di Sabah. Disebalik kecantikan pantai dan keindahan dasar lautnya yang merupakan syurga kepada penyelam, pasti ramai yang tidak mengetahui kedua-dua pulau ini turut dijadikan lokasi penetasan penyu.
 

Jadi, tidak salahlah jika kedua-dua pulau yang menjadi aset penting negara ini juga umpama syurga sang penyu untuk meneruskan kehidupan.
  
Pulau Sipadan mula berperanan sebagai tapak penetasan penyu sejak 1995 diikuti Pulau Mabul pada 2012. 
Kedua-dua pulau yang terletak di daerah Semporna ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot.  Pulau Mabul dan Sipadan mempunyai pantai berpasir dan landai, sekali gus memudahkan penyu mendarat, mengorek pasir serta mengeram telur.

Kaedah menangkap penyu menggunakan tali.

Menurut Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr P Pushpa, terdapat dua jenis penyu yang sering menetas di kedua-dua pulau ini,  iaitu penyu sisik dan hijau. 


"Faktor geografi di Pulau Mabul dan Pulau Sipadan sesuai untuk aktiviti penyu bertelur kerana kedua-dua pulau ini mempunyai kawasan pantai berpasir yang luas dan mampu menampung populasi penyu yang banyak pada satu-satu masa.

"Kawasan pantai yang agak landai ini memudahkan penyu untuk mendarat, mengorek pasir untuk bertelur, " katanya kepada mStar Online dalam temubual melalui kiriman e-mel baru-baru ini. 
Penyu hijau merupakan spesies yang sering bertelur di Pulau Mabul dan Sipadan. 


Beliau berkata, UMS dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di bawah program Sciencefund (e-Science) turut menjalankan kajian dengan melekatkan penanda (tagging) kepada setiap penyu yang bertelur di kedua-dua pulau ini. 

Projek tersebut turut mendapat tajaan daripada Tabung Hidupan Liar Sedunia- Malaysia (WWF-Malaysia) serta Sabah Parks and Treasure Images Sdn Bhd.

"Kajian tersebut dijalankan selama dua tahun, bermula pada Mac 2010 hingga Februari 2012. Ia dijalankan untuk melihat kehidupan spesies penyu di Mabul dan Sipadan serta tempoh jangka hayat mereka..

"Pada 2013, satu lagi projek jangka panjang telah dilancarkan, projek ini bagi memantau spesies penyu di Pulau Mabul. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Resort Mabul Uncle Chang.

"Program ini diadakan sebanyak dua kali, setahun. Program pertama dikenali sebagai 'Sambutan Hari Penyu Sedunia Mabul ' yang diadakan pada 23 Mei setiap tahun sementara program 'Sambutan Hari Penyu bagi Penyelam Borneo Mabul' merupakan anjuran Borneo Divers and Sea Sports (Sabah) Sdn Bhd diadakan pada November setiap tahun," katanya. 

Tiada ulasan: