Khamis, 6 November 2014

wanita-wanita muslimah yang terus berhijab

Jika kita menonton berita di seluruh dunia, apatahlagi di Barat ini, kelihatan Islam seolah agama yang teramat bermasalah. Negara-negara umat Islam tidak habis-habis dengan krisis, orang Islam pulak dikaitkan dengan kegiatan keganasan di sana-sini. Tiada satu hari rasanya yang tiada berita yang menggambarkan keburukan umat Islam. Maka, janganlah hairan jika ada muslim di Barat ini terasa berat untuk mengaku muslim.
Maka mengkagumkan saya, wanita-wanita muslimah yang terus berhijab ketika berada di Barat ini. Mereka ini tanpa memperkenalkan diri pasti diketahui bahawa mereka muslimah.
Lebih mengkagumkan lagi kumpulan-kumpulan dakwah yang giat berdakwah kepada Islam untuk masyarakat di Speakers’ Corner di Hyde Park London,kesungguhan berkempen kepada Islam oleh ramai muslim di sini. Demikian juga banyak kegiatan dakwah orang muslim di sana sini di London ini. Program-program masjid juga agak aktif. Mereka yang bersungguh ini kebanyakannya orang biasa, bukan ilmuwan besar tapi ada kesungguhan yang besar. Tiada gaji khusus untuk dakwah, tapi ada semangat yang khusus untuk dakwah dalam suasana yang seperti ini.
Justeru saya kagum dengan Sayeeda Warsi wanita muslim pertama dalam cabinet UK yang meletakkan jawatan kerana tidak puas hati terhadap sikap David Cameron mengenai isu Gaza. Sedangkan dalam negara orang muslim ada yang menggelar diri ulama dan ahli politik bukan sahaja takut membantah Israel sebaliknya membantah orang yang memboikot barangan Israel.
Saya lihat ada pihak yang memakai topi agama begitu pantas mengulas. Ada yang kata dia ‘mati katak’. Ada yang kata tempatnya dalam neraka. Sama sekali dia bukan syahid. Begitu pantas hukumannya. Saya teringat semasa tragedi MH17 baru-baru, kelompok agamawan ini juga dengan jelas menyebut mangsa yang terkorban itu syuhada. Katanya, mereka syahid akhirat kerana kemalangan. Padahal, jika kategori syahid akhirat itu hendak di ‘highlight’kan maka setiap yang kemalangan samada atas jalanraya ataupun selainnya juga syahid.
Maka, perjuangan hendaklah mengikut jalan Nabi s.a.w. Jika tidak mengikut jalan Islam, sekalipun berperang atas nama Islam, tidak dikira jihad yang sebenarnya. Apatahlagi jika membunuh mereka yang tidak bersalah. Banyak disiplin medan jihad yang perlu dipatuhi. Pun begitu seseorang mujahid boleh sahaja tersilap. Maklum sahaja di medan perang. Kita yang tidak di medan perang pun tersilap apatah lagi yang di medan. Khalid al-Walid pernah membunuh tawanan perang, Nabi s.a.w membantah beliau. Inikan pula selain Khalid al-Walid. Kesilapan yang bukan kebiasaan tidak menafikan status jihad.
Saya bukan pejuang di medan yang membela rakyat Palestin, Syria dan selain mereka. Saya membantah kumpulan yang berjuang atas nama Islam tetapi mengganas dan membunuh mereka yang tidak bersalah. Namun, saya tahu ada yang memang pergi menolong untuk menyelamatkan kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang yang tertindas. Mereka mungkin tidak ganas ataupun tidak menzalimi pihak lain. Saya tidak mahu mencemari lidah mencerca mereka. Mereka mungkin kekasih Allah, siapalah saya?! Janganlah apologetic feeling membunuh keadilan kita.

Tiada ulasan: