Kerapuhan perpaduan antara umat menjadi punca ajaran dan pegangan agama Islam mudah terjejas.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, umat Islam masa kini perlu sentiasa bersatu hati dalam memandu prinsip Islam berlandaskan al-Quran supaya ajaran Islam tidak mudah dipesongkan oleh golongan liberal dan sekular.
“Pada masa kini, kita menghadapi idealisme dan cabaran baharu yang sering bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sebagai Muslim, kita bimbang terhadap kesan dan pengaruhnya ke atas negara-negara Islam.
“Umat Islam lebih suka melahirkan ekspresi masing-masing terhadap masalah yang dihadapi dengan dendam dan kemarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu ucapannya di Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur Summit 2014 di Hotel Sri Pacific di sini, semalam.
Tegasnya lagi, masyarakat perlu mengkaji dan menganalisis terlebih dahulu setiap konflik permasalahan yang timbul dan bertentangan dengan agama Islam.
Jelasnya, melalui analisis dan diagnosis yang dilakukan, umat Islam boleh mengenal pasti punca dan mengambil pendekatan terbaik bagi menyelesaikan percanggahan yang timbul.
“Tanpa panduan dan strategi, kita sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan dan kerosakan terhadap diri kita dan agama berbanding musuh kita.
“Kita perlu jadi efektif dalam mengurus idea baharu. Analisis dahulu setiap kesulitan yang dihadapi dan cari punca masalah. Kemudian baharu kita fikirkan jalan penyelesaian dan ambil tindakan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan